Guru Besar Muat Naik Video Lucah di Whatsapp Group

KUALA LUMPUR: Kementerian Pendidikan memberi amaran bertulis dan memindahkan guru di Sandakan, Sabah, selepas didapati terbabit dalam isu memuat naik video lucah dalam kumpulan WhatsApp, baru-baru ini.

TIMBALAN Menteri Pendidikan, Datuk P Kamalanathan.

Timbalan Menteri Pendidikan, Datuk P Kamalanathan, berkata tindakan itu diambil selepas berpuas hati dengan hasil siasatan yang dijalankan Pejabat Pelajaran Daerah (PPD).

Katanya, setiap aduan yang diterima kementerian mahupun Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) dan PPD dilakukan mengikut prosedur standard pengurusan aduan awam.

"Siasatan berkenaan dijalankan dalam tempoh 15 hari bekerja," katanya menjawab soalan lisan Teo Nie Ching (DAP-Kulai) mengenai tindakan terhadap guru yang mewujudkan kumpulan WhatsApp dan memuat naik video lucah.

Kamalanathan berkata, kementerian tidak pernah memandang ringan isu membabitkan etika dan perlakuan guru.

Menjawab soalan tambahan Nie Ching mengenai kewajaran guru berkenaan terus dibenarkan mengajar sedangkan kesalahannya besar, Kamalanathan menjelaskan guru besar berkenaan hanya menjadi pentadbir kumpulan WhatsApp berkenaan.

"Guru berkenaan dikenakan tindakan berkenaan kerana mewujudkan kumpulan WhatsApp yang digunakan untuk berhubung berkaitan hal ehwal sekolah bukannya memuat naik tajuk (video lucah) itu.

"Guru besar itu mengakui kesilapan beliau mewujudkan kumpulan itu, justeru kita beri amaran dan memindahkan beliau," katanya.


Jangan lupa untuk LIKE Facebook MyBuletin

0 comment... add one now