Harga Ikan Kembung Cecah RM10 Sekilo

ALOR SETAR: Kekurangan hasil tangkapan berikutan keadaan laut bergelora ketika ini, menyebabkan harga ikan kembung khususnya di Kuala Kedah, di sini, meningkat sehingga RM10 sekilogram, berbanding hanya RM4 hingga RM5 sebelum ini.


Tinjauan di pelantar ikan Kampung Seberang Kota, di Kuala Kedah, di sini mendapati kebanyakan peniaga tidak menjual ikan sejak pagi semalam berikutan kekurangan hasil tangkapan, manakala sebahagian lagi tidak turun ke laut berikutan keadaan ombak yang bergelora.

Peniaga ikan, Siti Hajar Yaji, 23, berkata dia terpaksa menjual ikan kembung bersaiz kecil pada harga RM10 sekilogram disebabkan bekalan ketika ini sukar diperolehi dan terhad.

Katanya, kumpulan nelayan yang keluar ke laut sekitar perairan Langkawi sejak jam 6 pagi dan pulang ke pelantar pada jam 4 petang, hanya memperoleh kira-kira 30 kilogram (kg) ikan kembung, berbanding kebiasaannya antara 80kg hingga 100kg yang diperoleh hanya dalam tempoh antara tiga atau empat jam.

"Harga ikan terpaksa dinaikkan disebabkan kos minyak sekitar RM300 hingga RM400 setiap kali keluar menangkap ikan, selain keadaan cuaca dan ombak yang tidak menentu. 

"Kami para peniaga dan nelayan bimbang dengan fenomena gelombang kedua air pasang besar yang dijangka berlaku minggu ini akan terus menjejaskan pendapatan, kerana rata-rata nelayan tetap mengambil risiko turun ke laut walaupun terdedah ombak beralun dan cuaca yang tidak menentu," katanya. 

Semalam, Pengerusi Persatuan Nelayan Kawasan (PNK) Kuala Kedah, Abdul Hamid Bahari menasihatkan lebih 5,000 nelayan di sembilan kuala di bawah naungannya supaya berhati-hati ketika ke laut dan sentiasa memakai jaket keselamatan untuk mengelak sebarang kemungkinan susulan fenomena gelombang air pasang besar berlaku.

Sementara itu, Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Penguasa Kanan Bomba I Nazri Zakaria, berkata pihaknya sudah bersiap sedia untuk menghadapi sebarang kemungkinan berlakunya fenomena gelombang kedua air pasang besar yang dijangka Jumaat ini.

BACA JUGA: 17 Lokasi di Selangor Diramal Banjir

Jangan lupa untuk LIKE Facebook MyBuletin

0 comment... add one now