Mat Kinta, Mat Tambun dan Mek Chemor Dipindahkan

IPOH: Tiga gajah liar yang ditangkap Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) di kawasan Ulu Kuang, Chemor dekat sini Rabu lalu, dipindahkan ke Hutan Simpan Royal Belum, hari ini.


Proses pemindahan itu mendapat bantuan Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan (PKGK), Kuala Gandah, Pahang, membabitkan 18 pegawai dan kakitangan daripada kedua-dua jabatan.

Ketua Unit Gajah PKGK, Nasharuddin Othman, berkata operasi menangkap gajah bermula 29 September lalu sebelum anggotanya mengesan tiga gajah berkenaan sehari kemudian.

"Proses pemindahan mengambil masa lima hari selepas ditangkap kerana memerlukan bantuan dua ekor gajah iaitu Abot dan Rambai yang didatangkan khas dari Unit Gajah PKGK," katanya ketika ditemui di sini, hari ini. 

Nasharuddin berkata, ketiga-tiga gajah yang ditangkap dipercayai sesat dari habitat asal di Hutan Simpan Korbu.

"Hari ini kita pindahkan ibu gajah seberat kira-kira tiga tan dan dua anak gajah dianggar berusia dalam lingkungan dua hingga tiga tahun, ke Hutan Simpan Royal Belum bagi membolehkan haiwan itu hidup selesa di habitat sesuai. 

"Kita masih mengesan saki-baki empat hingga lima ekor gajah lagi yang berkeliaran di kawasan ini," katanya. 

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Hulu Kinta, Datuk Aminuddin Hanafiah, berkata pihaknya menerima aduan penduduk kampung sejak beberapa bulan lalu berhubung kerosakan tanaman disebabkan gangguan gajah liar.

"Sempena tangkapan dan pemindahan ketiga-tiga gajah ini, kita namakan ibu gajah sebagai Mek Chemor manakala dua anaknya Mat Tambun dan Mat Kinta," katanya.

BACA JUGA: Kereta Rempuh Rumah Korbankan Warga Emas

Jangan lupa untuk LIKE Facebook MyBuletin

0 comment... add one now