Pasangan Pelakon Terbabit 11 Kes Pecah Rumah di Shah Alam

SHAH ALAM: Polis menahan sepasang kekasih, yang pernah berlakon dalam sebuah filem Tamil sebagai pelakon tambahan kerana disyaki terbabit dalam kira-kira 11 kes pecah rumah di sekitar Shah Alam.


Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Shafien Mamat, berkata pasangan rakyat tempatan, lelaki berusia 34 tahun dan wanita, 31 tahun itu ditahan kira-kira jam 12 tengah hari, di sebuah pangsapuri di Seksyen 19, di sini, pada 13 Oktober lalu.

"Pemeriksaan di pangsapuri berkenaan menemui beberapa barangan dipercayai dicuri seperti telefon bimbit, komputer riba dan kamera serta beberapa resit pajak gadai.

"Siasatan lanjut ke atas resit itu juga mendapati barang yang digadai, antaranya jam mewah dan barangan kemas adalah barangan hasil pecah rumah," katanya pada sidang media, di sini, hari ini.

Kata Shafien, soal siasat terhadap kedua-dua suspek yang dipercayai aktif melakukan kegiatan jenayah itu sejak April tahun ini, membawa kepada penahanan seorang lelaki warga Indonesia berusia 42 tahun di sebuah rumah kedai di Puchong pada 19 Oktober lalu.

Beliau berkata, hasil pemeriksaan di rumah warga Indonesia itu yang dipercayai bertindak sebagai orang tengah bagi menjual hasil curi berkenaan, polis menjumpai pelbagai lagi barangan, antaranya kamera, telefon bimbit, komputer riba dan televisyen, dipercayai hasil curi pasangan kekasih terbabit.

"Jumlah keseluruhan rampasan dianggarkan bernilai RM60,000. Dengan penahanan pasangan kekasih ini, kami percaya dapat menyelesaikan kira-kira 11 kes pecah rumah di daerah ini dan daerah berdekatan," katanya.

Shafien berkata, kedua-dua pasangan yang positif dadah itu direman sehingga Khamis depan untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan kerana pecah rumah. - BERNAMA

BACA JUGA: Peminjam PTPTN Dapat Diskaun 15% Langsaikan Hutang

Jangan lupa untuk LIKE Facebook MyBuletin

0 comment... add one now