Peniaga Miliki Rokok Seludup Dipenjara dan Denda RM27000

KUALA TERENGGANU: Seorang peniaga burger dijatuhi hukuman penjara sehari dan denda RM27,000 oleh Mahkamah Majistret, di sini hari ini selepas mengaku salah memiliki rokok seludup bernilai RM2,713.


Tertuduh, Muhammad Amiru Syazuan Abdul Ghani, 25, yang sudah berkahwin dan memiliki seorang anak berusia setahun, turut diperintah menjalani hukuman penjara tambahan enam bulan sekiranya gagal membayar denda.

Majistret Abdul Hayyi Salim menjatuhkan hukuman itu selepas tertuduh yang berasal dari Kampung Gong Tok Nasek, di sini, mengaku salah terhadap pertuduhan mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967.

Dia mengaku memiliki barang larangan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), iaitu 253 karton rokok jenama Minna International; Gudang Garam Surya; Gudang Garam Nusantara; Premium; Canyon; John White; John F1; SAAT; Pine Prime Fresh Apple dan U2 Full Flavour Merah dan Hitam.

Peniaga berkenaan didakwa melakukan kesalahan itu kira-kira jam 9 malam di sebuah premis di Kampung Gong Tok Nasek pada 17 Julai lalu.

Pendakwaan diwakili Pegawai Pendakwa Mohd Redzuan Hamdan, manakala tertuduh diwakili peguam, Kamaruzzaman Wahab.

Tertuduh yang memakai kopiah hitam dan baju T coklat sebelum itu merayu mahkamah meringankan hukuman dengan alasan hanya bekerja menjual burger dengan pendapatan kira-kira RM1,000 sebulan dan perlu menyara isteri serta seorang anak berusia setahun.

BACA JUGA: Negara Rugi Lebih RM2 billion Kerana Rokok Seludup

Jangan lupa untuk LIKE Facebook MyBuletin

0 comment... add one now