Polis KL Gempur Lubuk Judi Besar-Besaran


KUALA LUMPUR: Lebih 20 premis perjudian dalam pusat beli-belah sekitar ibu negara, digempur Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Kuala Lumpur, sebentar tadi.

Serbuan dilakukan ekoran kedegilan sindiket perjudian yang terus berani menjalankan aktiviti mereka meskipun sering diserbu polis sebelum ini.

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Azman Mohd Isa, berkata serbuan secara serentak ke atas pusat beli-belah Plaza Kota Raya, Plaza Pudu dan Plaza Sungei Wang, dijalankan Bahagian Siasatan Jenayah Maksiat, Perjudian dan Kongsi Gelap (D7) Kuala Lumpur.

"Tindakan kita pada hari ini adalah berdasarkan maklumat yang diterima mengenai kewujudan aktiviti mesin judi dalam pusat beli-belah, yang boleh dianggap merosakkan masyarakat. 

"Kami tidak akan sekali-kali berkompromi dalam usaha membanteras sebarang aktiviti judi haram (tidak berlesen)," katanya ketika ditemui BH, sebentar tadi.

Beliau berkata, Polis Kontinjen Kuala Lumpur, sering mengusulkan cadangan kepada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) untuk membekukan sebarang lesen kepada pengusaha atau pemilik Pusat Hiburan Keluarga (PHK).

"Mereka ini (sindiket) sering menjalankan kegiatan judi mereka disebalik lesen PHK dan menjalankan kegiatan perjudian komputer seperti roulette, blackjack, ikan, safari, dolfhin dan banyak lagi," katanya.

Sepanjang operasi serentak selama tiga jam itu, sebanyak 125 set komputer dirampas, manakala 17 penjaga dan 31 pemain, termasuk warga asing ditahan.

Dalam operasi itu, 10 premis di Plaza Kota Raya dan 11 premis di Plaza Pudu diserbu, manakala empat lagi premis di Plaza Sungai Wang didapati ditutup selepas diserbu kelmarin.-MyBuletin

BACA JUGA: Nelayan Parah Ditembak di Sabah

Jangan lupa untuk LIKE Facebook MyBuletin

0 comment... add one now