Projek Bola Sepak JDT Adalah Yang Terhebat di Rantau Asia


KUALA LUMPUR: Kelab bola sepak Johor Darul Ta'zim (JDT) bakal melaksanakan satu projek pembangunan bola sepak jangka panjang paling hebat di Asia Tenggara dan Asia, kata Tunku Ismail Sultan Ibrahim.

Malah menurut pemilik kelab berkenaan, pihaknya juga berhasrat menjadikan Harimau Selatan sebagai sebuah kelab yang kukuh dari segi kewangan.

Tunku Ismail yang juga Tunku Mahkota Johor menyatakan demikian menerusi akaun rasmi Facebook milik JDT, Johor Southern Tigers beberapa jam lalu.

Baginda berkata demikian ketika ditanya oleh wartawan mengenai projek terbaharu untuk JDT.

"Projek di JDT berjalan dengan lancar. Kami baru saja menerima 'module' dari kelab-kelab besar Eropah untuk menjadikan JDT sebagai sebuah kelab yang kukuh dari segi kewangan dan juga mengadakan satu projek pembangunan bola sepak yang paling terhebat di dalam Asia Tenggara dan di peringkat Asia dalam jangka masa panjang. InshaAllah," katanya. 

Dalam pada itu, Tunku Ismail menyifatkan jemputan menghadiri program World Football Summit di Sepanyol pada bulan depan sebagai satu penghormatan dan pengiktirafan dunia bola sepak buat dirinya.

"Ia adalah satu penghormatan dan pengiktirafan dunia bola sepak kepada saya di mana saya akan bertemu dan berkongsi idea bersama-sama semua pemimpin-pemimpin hebat dan kelab-kelab sukan bola sepak di seluruh dunia. 


"Saya juga telah dijemput bukan sahaja untuk menghadiri seminar ini tetapi juga telah dipilih untuk memberi ucapan di hadapan kelab-kelab besar dan tetamu-tetamu seperti barisan pemilik kelab, presiden kelab, pengarah teknikal dari kelab-kelab hebat seperti Real Madrid, Barcelona, AC Milan, Bayern Munich, Juventus, Paris-Saint Germain, Manchester United dan lain-lain lagi. 

"Ia merupakan penghormatan serta pengiktirafan tertinggi buat saya kerana mereka menghargai sumbangan yang saya lakukan terhadap sukan bola sepak di Johor Darul Ta'zim," katanya.

BACA JUGA: Lagi Kes Letupan Telefon Samsung Galaxy Note 7 Dalam Kapal Terbang

Jangan lupa untuk LIKE Facebook MyBuletin

0 comment... add one now