SapuraKencana Beroleh Kontrak Lumayan

KUALA LUMPUR: SapuraKencana Petroleum Bhd menerusi beberapa anak syarikatnya memperoleh kontrak baharu dengan nilai keseluruhan RM889 juta.


Menurut syarikat perkhidmatan minyak dan gas itu, SapuraKencana TL Offshore Sdn Bhd dan SapuraKencana HL Sdn Bhd diberi kontrak Projek Saluran Paip RTR B127 Kluster oleh syarikat minyak India, Oil and Natural Gas Corp India (ONGC).

Skop kerja membabitkan kejuruteraan, pemerolehan, pembinaan, pemasangan dan pentauliahan 11 sistem saluran paip serta pengubahsuaian bahagian atas di B127 dan sekitar tanah tinggi Mumbai, pantai barat India.

Tempoh kontrak berkenaan adalah selama 20 bulan.

SapuraKencana Drilling Asia Limited turut memperoleh kontrak bagi pembekalan pelantar penggerudian sokongan SKD Pelaut oleh Brunei Shell Petroleum Sdn Bhd.

Kontrak berkenaan adalah untuk tempoh dua tahun dengan pilihan lanjutan tambahan dua tahun.

Sementara itu, anak syarikatnya yang lain, SapuraKencana Subsea Services Sdn Bhd dianugerahkan kontrak oleh PETRONAS Carigali Sdn Bhd (PCSB) bagi penyediaan perkhidmatan penyelenggaraan air untuk Sepat MOPU.

Skop kerja merangkumi pemeriksaan, penyelenggaraan, pembaikan, sokongan penggerudian dan kerja berkaitan untuk kemudahan dalam air PCSB di pesisir laut Semenanjung Malaysia pada kedalaman 0 hingga 2,000 meter.

Tempoh kontrak ini kira-kira dua bulan.

Baca Lagi: Harga Terkini Minyak Petrol di Malaysia

Jangan lupa untuk LIKE Facebook MyBuletin

0 comment... add one now