Toyota Lancar Vios Baru, Lebih Murah dan Jimat

SHAH ALAM: UMW Toyota Motor Sdn Bhd, pengedar kenderaan Toyota di Malaysia, melancarkan model popular Vios yang ditambah baik pada harga lebih rendah antara RM1,480 hingga RM3,680 berbanding model sebelumnya.


Harga lebih murah itu berikutan Vios baharu kini ditauliahkan sebagai kenderaan cekap tenaga (EEV) selepas ia memenuhi kriteria ujian yang ditetapkan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dari segi ekonomi bahan api, berat badan dan pelepasan emisi.

Model ditambah baik ini dilengkapi enjin baharu 2NR-FE dan transmisi CVT, menggantikan transmisi konvensional 4-kelajuan automatik. Ia mengekalkan penggunaan enjin 1.5 Liter berserta DOHC 16 silinder, namun ditambah baik dengan dwi VVT-i yang menghasilkan kecekapan penggunaan bahan api dan meningkatkan kuasa pemanduan.

Model ini juga menyaksikan pengenalan varian baharu 1.5 GX dengan CVT, sebagai tambahan kepada varian lima varian sedia ada - 1.5 Sportivo CVT, 1.5 G CVT, 1.5 E CVT, 1.5 J CVT dan 1.5 lima-kelajuan manual.

Semua varian dengan CVT dilengkapi transmisi automatik tujuh-kelajuan berserta mod sequential shifmatic. Semua varian Vios ditambah baik dilengkapi sistem keselamatan aktif iaitu Kawalan Kestabilan Kenderaan (VSC), sistem brek ABS, EBD dan BA, manakala TRD Sportivo, GX dan G turut dipasang brek cakera pada roda belakang bagi menambah kuasa membrek.

Penambahbaikan lain menyaksikan semua varian dilengkapi sistem kunci pintar dan butang penghidup enjin; penggunaan kulit lebih berkualiti bagi kerusi varian TRD Sportivo, GX dan G serta kualiti fabrik yang dipertingkatkan untuk 1.5 E dan 1.5 J.

Bagaimanapun, penampilan luaran model baharu ini hampir keseluruhannya mengekalkan reka bentuk model sebelumnya, kecuali pengenalan aerokit lebih sporty untuk varian baharu GX serta reka bentuk aerokit baharu yang didatangkan dengan jeriji hitam untuk penampilan sporty varian TRD Sportivo.

Model ditambah baik ini menawarkan dua warna baharu - merah metalik dan putih super II, sebagai tambahan kepada tiga warna sedia ada - perak metalik medium, perak metalik dan hitam.

Varian TRD Sportivo turut menawarkan warna baharu putih mutiara. Pelancaran Vios baharu diadakan sempena pelepasan program dua hari pandu uji media dari Shah Alam ke Melaka, semalam.

INFO Harga atas jalan Vios bagi Semenanjung Malaysia termasuk GST dengan Insurans:

• 1.5 TRD Sportivo CVT RM96,400

• 1.5 GX CVT RM92,800

• 1.5 G CVT  RM89,800

• 1.5 E CVT  RM83,900

• 1.5 J CVT  RM79,800

• 1.5 J Manual lima-kelajuan RM76,500

Jadi mana satukah pilihan anda?

BACA JUGA: Kes Rasuah Sabah, SPRM Masih Belum Habis Kira

Jangan lupa untuk LIKE Facebook MyBuletin

0 comment... add one now