TPM Bidas Rakyat Malaysia Tidak Fasih Berbahasa Melayu

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sama sekali tidak ambil peduli atau berkecil hati berhubung kritikan terhadap beliau yang berucap dalam bahasa Inggeris pada Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa Bersatu ke-71 di New York baru-baru ini.


Sebaliknya, beliau secara sinis berkata apa yang lebih memalukan adalah sekiranya rakyat Malaysia yang lahir dan membesar di tanah air tetapi tidak mampu bercakap dalam bahasa Melayu.

"Sebagai orang Malaysia perlu fahami bahawa di mana bumi di pijak di situ langit dijunjung," katanya ketika menutup Persidangan Perwakilan UMNO Bahagian Ipoh Barat di Ipoh hari ini.

Ahmad Zahid yang juga Naib Presiden UMNO menarik perhatian bahawa terdapat segelintir warga asing yang baru tinggal di Malaysia tetapi fasih bertutur dalam bahasa Melayu.

"(Ini lebih baik) berbanding dengan rakyat Malaysia yang telah 25 tahun
tinggal di negara ini tetapi masih tidak fasih berbahasa Melayu," katanya.

Jumaat lepas, Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman berkata mesej yang
disampaikan Ahmad Zahid pada Perbahasan Umum PBB itu diterima baik oleh negara anggota badan dunia itu.

"Adalah malang bahawa sesetengah rakyat Malaysia telah mengkritik dan memilih untuk menonjolkan cara penyampaian ucapan oleh timbalan perdana menteri daripada fokus dan mencerna mesej penting yang beliau sampaikan pada Perbahasan Umum PBB," kata Anifah. -Bernama

BACA LAGI: Krisis Laut China Selatan Antara US dan China Menggugat Masa Depan Kedaulatan Malaysia

Jangan lupa untuk LIKE Facebook MyBuletin

0 comment... add one now