Agihan Pendapatan ASN3 6 Sen Seunit

KUALA LUMPUR: Amanah Saham Nasional Bhd (ASNB), anak syarikat milik penuh Permodalan Nasional Bhd (PNB), mengumumkan pengagihan pendapatan 6.00 sen seunit bagi Amanah Saham Nasional 3 Imbang (ASN3) bagi tahun kewangan berakhir 30 November 2016. 


ASNB menerusi kenyataannya hari ini berkata, pengagihan pendapatan itu membabitkan pembayaran berjumlah RM70.78 juta yang memberi manfaat kepada lebih 38,000 pemegang unit yang melanggan 1.17 bilion unit ASN 3. 

Keuntungan daripada jualan saham menyumbang RM39.65 juta atau 47 peratus manakala pendapatan dividen daripada syarikat pelaburan menyumbang RM26.16 juta atau 31 peratus kepada jumlah keseluruhan pendapatan kasar. 

Baki RM18.64 juta atau 22 peratus pula diperoleh daripada pelaburan dalam instrumen jangka pendek dan pendapatan lain. 

"Tahun kewangan semasa adalah tempoh mencabar bagi ASN 3, ekoran KLCI (indeks penanda aras pasaran saham tempatan) yang didagangkan dalam arah aliran mendatar, daripada 1,672.16 mata pada 30 November 2015, kepada 1,628.66 mata setakat 28 November 2016, justeru mencatatkan pulangan negatif sebanyak 2.6 peratus sejajar dengan prestasi pasaran ekuiti global. 

"Prestasi pulangan aset juga dipengaruhi oleh tekanan dalam harga komoditi kebelakangan ini, ketidaktentuan yang lebih tinggi dalam nilai mata wang utama dunia serta kadar faedah yang rendah seiring penurunan KLIBOR tiga bulan sebanyak 37 mata asas kepada 3.4 peratus," demikian mengikut kenyataan berkenaan. 

Pengagihan pendapatan akan dilaburkan secara automatik dan dikreditkan ke dalam buku pelaburan pemegang unit pada 1 Disember 2016, berdasarkan Nilai Aset Bersih (NAB) ASN3 pada 30 November 2016. 

Sementara itu, bagi pemegang unit yang melanggan ASN 3 menerusi Skim Pelaburan Ahli Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), pembayaran pengagihan pendapatan akan dikreditkan ke dalam akaun KWSP yang berkenaan. 

Semua urus niaga bagi ASN 3 di semua cawangan dan ejen ASNB ditangguhkan mulai 23 November 2016 sehingga 30 November 2016 bagi tujuan pengiraan pengagihan pendapatan. 

Pemegang unit boleh mengemaskini buku pelaburan ASN 3 di semua cawangan dan ejen ASNB di seluruh negara mulai 1 Disember 2016.

0 comment... add one now