Aiman Tino Intai Peluang Berlakon Filem

KUALA LUMPUR: Mencetus fenomena apabila video muzik lagu Ku Rela Dibenci ditonton lebih 21 juta kali, bakat remaja, Aiman Tino, 18, sedia terjun ke bidang lakonan.


Aiman memberitahu, tidak salah dia mencuba nasib sebagai pelakon serta meneroka peluang yang ada ketika namanya memahat dalam industri seni. 

"Insya-Allah, jika ada rezeki berlakon, saya mahu mencubanya. Saya percaya, alang-alang berada dalam industri, memang banyak pecahan seni yang boleh saya lakukan.

"Namun, buat sementara waktu, saya mahu fokus dalam bidang nyanyian. Hendak berlakonpun, lambat lagi rasanya... Tengoklah macam mana. Kita hanya mampu merancang.

"Namun, secara jujurnya, saya mahu mencabar kemampuan diri," katanya kepada BH Online.

Mengenai kembara seninya yang dianggap masih hijau, artis naungan Aries Music Production itu sedar masih banyak perlu dipelajarinya.

"Saya masih baru dalam bidang ini. Saya tahu hanya perkara asas saja. Saya masih belajar... Saya percaya setiap hari kita ada peluang untuk memperbaiki diri dan belajar," katanya.

Lonjakan populariti pantas mengubah kehidupan Aiman atau nama sebenarnya, Muhammad Aiman Yusri. Aiman dihambat komitmen dan jadual persembahan yang tidak putus-putus.

Paling penting, Aiman akan beraksi di pentas Anugerah Juara Lagu Ke-31, Januari depan. 

"Saya sedang membiasakan diri berdepan situasi ini. Saya tidak sangka melonjak sepantas ini. Saya harap tak akan leka dengan kemasyhuran ini," katanya.

Selepas lagu Ku Rela Dibenci yang dicipta bapanya sendiri, Aiman bakal muncul dengan single kedua berjudul Permata Cinta hasil karya komposer baharu, Apit.

0 comment... add one now