'Pemimpin Bodoh Sebab Rakyat Bodoh'


SOCRATES DAN DEMOKRASI: PEMIMPIN BODOH
SEBAB RAKYAT BODOH
Artikel ditulis oleh Zamir Mohyedin di FB beliau.

Demokrasi bermula di Athens, salah satu wilayah dalam tamadun Yunani. Boleh dikatakan demokrasi merupakan reformasi sistem politik kerana banyak wilayah lain dalam tamadun Yunani serta tamadun-tamadun lain lebih dekat dengan sistem monarki. Demokrasi meletakkan kuasa di tangan rakyat dalam pemilihan pemimpin, iaitu sistem yang agak radikal kalau dilihat pada kacamata pada zaman itu.

Namun ahli falsafah Yunani yang juga hidup di Athens pada masa itu iaitu Socrates mempunyai masalah dan agak pesimis dengan demokrasi. Dalam Republic jilid keenam yang dikarang oleh Plato telah memaparkan dialog antara Socrates dengan Adeimantus. 

Dalam dialog tersebut, Socrates bertanya kepada Adeimantus, sekiranya kita dalam pelayaran menuju ke suatu tempat, siapakah yang patut menjadi kapten? Sesiapa saja ataupun mereka yang berpengetahuan dalam pelayaran? Tentulah Adeimantus menjawab mereka yang ahlinya dalam pelayaran.

Selepas itu, Socrates berhujah, jadi mengapa kita boleh membiarkan sesiapa saja menentukan siapa yang layak memimpin negara? Hujah yang dibawa oleh Socrates memberikan tumpuan bahawa mengundi adalah suatu hal yang serius dan memerlukan pengetahuan. Mengundi bukan main agak-agak dan rawak. Bagi Socrates, mengundi perlu dididik secara sistematik.

Membiarkan mana-mana rakyat mengundi tanpa didikan adalah suatu yang tidak bertanggungjawab, seolah-olah membiarkan kapal berlayar menuju kehancuran. Malah, Socrates dihukum meminum hemlock (racun) oleh pihak berkuasa kerana undian juri memutuskan Socrates bersalah. Bersalah kerana didakwa telah merosakkan anak muda Athens. 

Socrates menegaskan bahawa rakyat yang benar-benar memahami dan rasional dalam isu-isu semasa saja yang dibenarkan mengundi. Mungkin kita lupa perbezaan antara demokrasi intelektual dan demokrasi yang haknya diberikan kepada sesiapa saja yang lahir di negara itu. Lalu, hak mengundi diberikan kepada sesiapa saja tanpa ada hubungan kebijaksanaan dan rasionalisasi. 

Socrates mengetengahkan konsep demagogueri, iaitu reaksi terhadap demokrasi yang punah. Demagogueri adalah pemerintah yang dipilih hasil daripada demokrasi melalui eksploitasi pembodohan dan prejudis dalam kalangan rakyat, serta 'menutup' sebarang bentuk rasionalisasi. 

Maka, pemilihan pemimpin yang bodoh adalah kerana rakyat nya yang bodoh kerana termakan dengan projek-projek pembodohan calon pemimpin.

0 comment... add one now