Ekonomi Tumbuh 4.3% Suku Ketiga - Gabenor Bank Negara

KUALA LUMPUR: Ekonomi Malaysia mencatatkan pertumbuhan 4.3 peratus pada suku ketiga 2016, disokong oleh pertumbuhan berterusan perbelanjaan sektor swasta dan sokongan daripada eksport bersih.


Prestasi suku ketiga itu meletakkan sasaran untuk mencapai pertumbuhan antara 4.0 hingga 4.5 peratus bagi 2016 semakin hampir dicapai.

Ekonomi Malaysia berkembang 4.2 peratus pada suku pertama dan 4.0 peratus pada suku kedua. 

Dari segi pengeluaran, sektor perkhidmatan terus mengukuh pada suku ketiga dan kekal menjadi pemacu pertumbuhan ekonomi Malaysia dalam suku yang dikaji.

Momentum dalam sektor pembuatan dan pembinaan juga membantu meningkatkan prestasi ekonomi keseluruhan negara.

Sementara itu, dari segi perbelanjaan pula menyaksikan ekonomi dipacu oleh perbelanjaan persendirian akhir dan perbelanjaan modal tetap kasar.

Pada masa sama, pertumbuhan kukuh eksport bersih turut mengukuhkan Keluaran Dalam Kasar Negara (KDNK) pada suku ketiga.

Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Datuk Muhammad Ibrahim, berkata daya tahan ekonomi Malaysia dipengaruhi oleh kepelbagaian sumber ekonomi, pertumbuhan gaji dan pekerjaan serta pelaksanaan pelbagai projek infrastruktur.

"Risiko arah aliran penurunan dan kejutan (terhadap ekonomi) diimbangi oleh penampan yang mencukupi, ruang melaksanakan dasar dan tahap persediaan yang tinggi," katanya pada taklimat media mengumumkan prestasi suku ketiga ekonomi Malaysia di sini, sebentar tadi.

Sementara itu, kadar inflasi pada suku ketiga pula tumbuh sederhana 1.3 peratus. Kadar pengangguran pula berada pada 3.5 peratus dan hutang isi rumah berbanding KNDK adalah 88.7 peratus.

0 comment... add one now