Gangguan Mental Sejak Kecil Buat Syafie Naswip Sukar Bergaul

KUALA LUMPUR: Perwatakan tenang pelakon, Syafie Naswip 'menutup' pandangan masyarakat terhadap kekurangan dirinya yang disahkan menghidap penyakit gangguan mental, bipolar sejak kecil.


Syafie, 24, menjelaskan kadangkala beliau turut menghadapi kesukaran untuk membezakan personaliti sebenar serta sikap berlawanan dirinya apabila dipengaruhi emosi sebaik sakitnya menyerang. 

Bagaimanapun, penyakit bipolar yang dihidapi penerima trofi pada Festival Filem Malaysia (FFM) ke-20 itu hanya watak rekaan yang direalisasikan menerusi telefilem baharu, Aku Tak Marah.

"Saya menjayakan watak pelajar yang berdepan dengan penyakit bipolar sejak kecil lagi. Biarpun kelihatan normal pada luaran, namun saya bergelut dengan dua personaliti berbeza yang kadang kala tidak mampu dikawal diri sendiri.

"Biarpun sesetengah pelakon terbawa-bawa dengan watak yang dilakonkan, saya bersyukur kerana tidak terkesan dengan karektor terbabit. Cuma bezanya di set saya mengambil pendekatan mendiamkan diri bagi menjiwai watak.

"Inilah julung kali saya diberi kepercayaan untuk membawakan watak penghidap bipolar. Saya akui sukar menjiwai watak ini namun sokongan pengarah dan barisan pelakon lain banyak membantu," katanya kepada BH Online.

Aktor yang mencipta nama menerusi filem Mukhsin berharap peminat dapat menerima lakonan beliau menerusi telefilem Aku Tak Marah arahan Jamal Khan yang turut dibintangi oleh Catriona Ross, Azhan Rani, Syera Ayob, Falisha Crossley dan ramai lagi.

Selain itu, Syafie bakal menjalani penggambaran drama 26 episod arahan Raja Ahmad Alauddin untuk saluran Rancangan Televisyen Malaysia (RTM).

0 comment... add one now