Hapus Kutipan Tol PLUS Akan Merugikan 14.5 Juta Pencarum KWSP

KUALA LUMPUR: Seramai 14.55 juta pencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) berdepan kerugian bernilai berbilion ringgit dari segi potensi dividen jika rakyat menerima cadangan Lim Guan Eng berhubung kutipan tol di lebuh raya PLUS Malaysia Bhd (PLUS).


Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof, berkata penswastaan Lebuhraya Utara Selatan pada tahun 2011 menyaksikan pemilikan kepentingan kerajaan ke atas syarikat itu berkurangan kepada 51 peratus, manakala 49 peratus lagi dipegang KWSP.

Justeru, katanya, kenyataan Setiausaha Agung DAP itu semalam yang menuduh kerajaan Barisan Nasional (BN) hanya membiarkan kroninya mengaut untung besar dengan meneruskan kutipan tol secara tidak munasabah di lebuh raya itu adalah tidak berasas.

"Tiada satu saham pun dimiliki secara kroni persendirian seperti dinyatakan, sebaliknya agak meragukan jika Lim menganggap 14.55 juta pencarum KWSP itu sebagai kroni.

"Pemilikan KWSP dalam PLUS membolehkan pencarum dalam pengurus dana pencen itu menerima pulangan stabil setiap tahun dijana pelaburan dalam aset matang yang mampu menjana tunai dengan kukuh," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Fadillah berkata, kenyataan Lim itu lanjutan daripada tekanannya ke atas PLUS tahun lalu yang mencadangkan tol di lebuh raya itu dihapuskan dan menyarankan kutipan cukai jalan digunakan bagi menampung kos penyelenggaraan serta penambahbaikannya.

Katanya, kutipan cukai jalan RM2.4 bilion setahun tidak mencukupi menampung kos penyelenggaraan PLUS, ditambah pembiayaan bagi 50,000 kilometer lebuh raya Persekutuan yang disediakan tanpa tol dan jalan negeri menerusi peruntukan tahunan khusus untuk negeri terbabit.

"Cukai jalan di Malaysia antara terendah di dunia dengan kebanyakan pemilik kereta membayar RM90 setahun, menjadikan kutipan keseluruhan berjumlah kira-kira RM2.4 bilion setahun.

"Kos PLUS setahun pula kira-kira RM1 bilion termasuk kos operasi, penyelenggaraan, pengawalseliaan dan perbelanjaan naik taraf 986.5 kilometer, bahkan PLUS juga perlu membelanjakan berbilion ringgit lagi untuk perluasan jalan kepada tiga atau empat lorong bagi mengelak kesesakan serta lebih selamat untuk pengguna," katanya.

0 comment... add one now