Harga Minyak Dunia Meningkat Semula

KUALA LUMPUR: Harga minyak mentah global yang berada dalam aliran menurun sejak awal bulan ini, kembali meningkat minggu ini, menjelang mesyuarat penting Pertubuhan Negara Pengeksport Petroleum (OPEC) pada 30 November ini. 


Petang ini, niaga hadapan minyak mentah antarabangsa Brent berada pada AS$48.99 setong selepas meningkat hingga AS$49.42 setong pada sesi awal pagi. 

Niaga hadapan minyak mentah West Texas Intermediate (WTI) pula mencecah AS$47.90 setong selepas diniagakan pada AS$48.30 pagi ini. 

Penganalisis Kaji Selidik ForexTime (FXTM), Lukman Otunuga, berkata minyak mentah WTI mencatat peningkatan luar biasa minggu ini dengan harganya bergerak ke arah AS$49 setong. 

Peningkatan itu berikutan jangkaan semakin bertambah bahawa OPEC akan memuktamadkan rundingan untuk membekukan pengeluaran pada mesyuarat rasmi pakatan pengeluar minyak dunia itu di Vienna, Austria minggu depan. 

"Kenyataan berulang kali oleh Iraq dan Iran menunjukkan kesediaan mereka ke arah menangani masalah lambakan bekalan, memainkan peranan penting dalam kenaikan harga minyak. 

"Selain itu, kesanggupan Russia untuk menyertai usaha membekukan pengeluaran diterajui OPEC terus mengukuhkan daya tarikan pelabur terhadap komoditi itu. 

"Walaupun kenaikan agresif ini agak luar biasa, pelabur wajar kekal fokus memandangkan OPEC mungkin boleh mengeksploitasi sensitiviti minyak demi mewujudkan kenaikan harga berbentuk spekulatif. 

"Dengan kegusaran terhadap lambakan bekalan masih berterusan selain kebimbangan permintaan perlahan akan mempengaruhi sentimen, arah aliran kenaikan minyak bagaimanapun adalah terhad, menuju ke depan," katanya dalam satu nota. 

Beliau berkata, OPEC akan berdepan satu lagi risiko seandainya pelabur berasa kecewa jika satu lagi 'kegagalan Doha', yang merujuk kepada kegagalan rundingan Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO), berpotensi memburukkan lagi masalah lambakan bekalan pada 2017. 

Penganalisis Hong Leong Investment Bank, Sia Ket Ee, berkata, ketidaktentuan harga minyak dunia kebelakangan ini disebabkan anggota OPEC dilihat berada di persimpangan, sama ada mengurangkan kuota pengeluaran atau bersetuju mengehadkan pengeluaran pada paras semasa bagi membendung lambakan global. 

Namun demikian, katanya, indeks dolar AS yang mencatat rekod tertinggi pula menjadikan komoditi dalam harga dolar menjadi kurang menarik kepada pelabur.

0 comment... add one now