Kelantan Tidak Jadi Keluar Dari Liga Malaysia Musim Depan

KOTA BHARU: Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA), yang kini berdepan masalah kewangan, tidak akan menarik diri daripada saingan Liga Malaysia (Liga M) pada musim depan. 


Pemangku Presiden KAFA, Datuk Seri Afandi Hamzah, berkata 22 pemain sudah didaftarkan minggu ini mengikut segala terma dan syarat yang ditetapkan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM). 

"Namun, saya memohon kepada kerajaan negeri, badan swasta atau individu untuk tampil memberi bantuan kewangan dalam usaha mengatasi kemelut kewangan yang dihadapi KAFA ketika ini. 

"Dalam mempersiapkan pasukan pada musim depan, sudah tentu KAFA memerlukan sejumlah dana yang mencukupi, termasuk dalam urusan kontrak pemain import baharu yang masih ada tiga kuota untuk diisi. 

"Saya tidak mahu membuat andaian awal berkenaan keputusan tarik diri sekiranya tiada penaja utama baharu dalam masa terdekat," katanya pada sidang media di Wisma KAFA, di sini, semalam. 

Yang turut hadir, Setiausaha KAFA, Datuk Ismail Md Noor Ismail dan Penolong Setiausaha KAFA, Wan Badri Wan Omar. Afandi berkata, KAFA sebenarnya memerlukan dana kira-kira RM1 juta setiap bulan bagi menguruskan persatuan dan memastikan Kelantan tidak menghadapi krisis kewangan pada musim akan datang. 

Ditanya mengenai pengganti Tan Sri Annuar Musa, yang meletak jawatan sebagai Presiden KAFA, Afandi berkata, mesyuarat juga belum memutuskan bakal pengganti.

0 comment... add one now