Menara 70 Tingkat Hargai Jasa UMNO Akan Dibina Mei Hadapan

KUALA LUMPUR: Pusat Dagangan Dunia KL Putra, satu lagi mercu ikonik baharu di ibu negara dilancarkan hari ini bersempena Perhimpunan Agung UMNO 2016 (PAU 2016). 


Pelancarannya disempurnakan Perdana Menteri yang juga Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Razak di kawasan medan letak kereta di Hentian Putra, iaitu tapak utama pembinaannya. 

Najib menyifatkan pembinaan menara dengan ketinggian 70 tingkat itu, satu projek transformasi yang mengetengahkan tema seni bina berasaskan pakaian tradisional Melayu, diambil daripada corak dan lipatan unik yang terdapat pada samping, kelok keris serta ukiran bulu. 

Beliau berkata, ia juga melambangkan usia parti keramat Melayu ini yang kini sudah menjangkau 70 tahun. 

"Roh UMNO adalah tunjang Pusat Dagangan Dunia Putra KL ini. Setiap butir tanahnya, setiap keping atapnya, setiap lapisan dindingnya, terbina atas darah, keringat dan air mata ahli bersama pemimpinnya. 

"Evolusi UMNO, dari tangga Istana hingga ke bangunan 70 tingkat, adalah lambang kesetiaan, keikhlasan dan semangat ahli UMNO dalam memartabatkan perjuangan orang Melayu," katanya ketika merasmikan majlis pecah tanah projek itu. Najib berkata, kerja awal projek ini akan dilakukan bermula 11 Mei tahun depan bersempena dengan sambutan ulang tahun UMNO.

Dalam pada itu, beliau menegaskan, UMNO bukan parti yang berkhidmat hanya untuk orang Melayu sahaja, tetapi merangkumi semua lapisan masyarakat dan kaum di negara ini. 

KL PWTC, yang dijangka siap pada 2020, turut mengandungi ruangan pejabat dan restoran serta hotel enam bintang, mengandungi 250 bilik yang dibina di kawasan medan letak kereta di Hentian Putra berkeluasan 111,483 meter persegi. 

Lebih menarik, podium beli belah dua tingkat berkeluasan 48,978 meter persegi, berkonsepkan seni bina moden, akan dibina bagi menarik pengunjung termasuk pelancong dalam dan luar negara. 

Turut dibina di kawasan berhampirannya, sebuah masjid terapung yang mampu memuatkan 5,000 jemaah selain menaik taraf Menara Dato' Onn yang menempatkan Ibu Pejabat UMNO ketika ini. 

Selain itu, dua Dewan Tun Razak juga bakal dinaik taraf dan digabungkan menjadi sebuah dewan dua tingkat dengan mengetengahkan seni bina moden membabitkan 28,630 meter persegi keluasan tanah lantainya. 

Dewan baharu itu nanti akan digunakan untuk acara tempatan dan antarabangsa seperti konsert, persidangan serta pertunjukan budaya. 

Sejarah dan maklumat PWTC: 
  1. Dibuka secara rasmi pada 1985 
  2. Cadangan pembinaan pada 1971 
  3. Pada 1972, UMNO beli 4 hektar tanah di Jalan Tun Ismail 
  4. Majlis Tertinggi UMNO lulus rekabentuk pada 1979 
  5. Memiliki bangunan 42 tingkat 
  6. Dinamakan Bangunan Tunku Abdul Rahman dan Menara Dato' Onn pada mulanya sempena memperingati jasa kedua-dua tokoh UMNO itu 
  7. Menggabungkan ciri moden dengan budaya tradisi Melayu 
  8. Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur dinamakan semula sebagai PWTC pada 1985 
  9. Berkeluasan 157,935 meter persegi 
  10. 23,504 meter persegi keluasan ruang pameran

0 comment... add one now