Namakan Calon PM Selepas Menang Pilihanraya - Tun M

SHAH ALAM: Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menolak cadangan Timbalan Presiden Parti Amanah Negara, Salahuddin Ayub supaya menamakan calon Perdana Menteri sekiranya Pakatan Harapan menang Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).


Dr Mahathir yang juga Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) berkata, perkara itu tidak perlu dibincangkan terlebih dahulu kerana bakal menimbulkan perbalahan dalam kalangan pakatan.

"Usaha sekarang ialah untuk menyatukan semua parti dalam Pakatan Harapan kerana ada beberapa perkara kecil perlu diselesaikan terlebih dahulu.

"Kita ada beberapa calon yang sesuai untuk dinamakan sebagai Perdana Menteri tapi buat masa ini tidak perlu dibincangkan kerana mungkin boleh mewujudkan perbalahan," katanya pada sidang media selepas menyampaikan ucapan pada Konvensyen Nasional Pakatan Harapan di sini, sebentar tadi.

Ditanya sama ada PPBM akan menjadi sebahagian daripada Pakatan Harapan, Dr Mahathir berkata partinya sedang dalam proses untuk menyertai pakatan pembangkang itu.

Katanya, ada beberapa isu yang sedang diperhalusi termasuk menjadikan Pakatan Harapan sebagai satu entiti.

"Ya, kita (PPBM) akan sertai Pakatan Harapan, namun gabungan ini perlu bergerak sebagai satu gabungan yang mempunyai satu simbol untuk digunakan dalam pilihan raya umum akan datang.

"PPBM tidak kisah menyertai Pakatan Harapan sama ada menjadi parti yang keempat atau kelima dalam gabungan ini," katanya.

0 comment... add one now