Nazri Aziz Label Penyokong BERSIH 5 Sebagai Bodoh

KUALA KANGSAR: Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz menyifatkan peserta perhimpunan BERSIH 5.0 sebagai 'bodoh' dan buta undang-undang.


Nazri berkata, ia kerana penyokong Maria Chin Abdullah menganggap penahanan Pengerusi BERSIH 5.0 itu mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) adalah salah dan tidak wajar kerana dia bukan pengganas.

"Sila semak fakta anda terlebih dahulu yang berkata dia adalah seorang pengganas? Pengganas akan ditangkap di bawah Akta Undang-Undang Pencegahan Keganasan 2015 (POTA) bukan SOSMA, ...dia ditahan atas faktor keselamatan negara.

"Oleh itu semua kumpulan Baju Kuning bodoh, kerana tidak memahami undang-undang," katanya ketika berucap melancarkan Program Kraf Kampungku di Dewan Orang Ramai Kampung Kepala Bendang, Sayong di sini petang tadi.

Nazri yang juga Menteri Pelancongan dan Kebudayaan berkata, Maria Chin ditangkap mengikut SOSMA bagi membolehkan polis menjalankan siasatan berhubung aktivitinya yang mungkin memudaratkan demokrasi berparlimen.

Oleh itu, katanya, sebarang pertikaian berhubung penangkapan Maria Chin perlu mengikut proses undang-undang negara iaitu perlu ke mahkamah dan melantik peguam untuk membelanya dan bukan dengan cara berkumpul beramai-ramai memegang lilin.

"Sekarang ini seolah-olah kumpulan Baju Kuning mahu menjadi pendakwa dan juga hakim. Biarlah mahkamah yang membuat keputusan," katanya.

0 comment... add one now