PM Najib Razak Tempelak Tun M Sudah Tidak Digeruni Lagi

PETALING JAYA: Kedudukan Tun Dr Mahathir Mohamad yang tidak lagi digeruni adalah punca yang menggagalkan cubaannya menggulingkan Perdana Menteri. 


Datuk Seri Najib Razak berkata, Dr Mahathir mengawal UMNO satu ketika dulu berdasarkan kedudukannya sebagai Presiden parti dan Perdana Menteri. 

"Beliau digeruni ketika memerintah. Apabila bukan lagi menjadi presiden parti, ketakutan terhadapnya hilang. Beliau juga tidak lagi mengawal atau membuat keputusan berkaitan UMNO. 

"Beliau dihormati, bukan digeruni," katanya dalam wawancara bersama akhbar The Star yang disiarkan hari ini. Najib berkata, Dr Mahathir menggunakan ketua menteri dan menteri besar untuk mengawal UMNO bahagian. 

"Apabila Menteri Besar berkenaan tidak lagi memegang jawatan, Dr Mahathir terputus hubungan dengan ketua bahagian. 

"Anda pasti terkejut bahawa beliau tidak mengetahui nama sebahagian besar daripada mereka," katanya. 

Ini berbeza dengan Najib yang dilihat sebagai sebahagian daripada mereka kerana berjuang bersama antara 30 hingga 40 tahun lamanya. 

Presiden UMNO itu berkongsi perbualannya bersama mendiang Perdana Menteri Singapura, Lee Kuan Yew, pada tahun 2009 yang mengibaratkan Dr Mahathir sebagai peninju heavyweight yang terus melepaskan tumbukan sehingga lawan keletihan. 

"Beliau mahukan semuanya dibuat mengikut caranya. Pilihannya ialah sama ada mengikut caranya atau keluar. Saya dapat rasakan beliau akan menentang saya, namun saya tidak sangka tindakannya adalah sekasar ini. 

"Mungkin itu adalah dirinya. Beliau tidak akan berhenti selagi tidak mendapat kuasa sepenuhnya. Analisis Kuan Yew terhadapnya memang tepat," katanya. 

Menyentuh detik Dr Mahathir berkongsi pentas bersama Lim Kit Siang dan bersalaman dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim, Najib menyifatkannya sebagai `kemuncak politik Machiavelli' dan `hipokrasi tertinggi'. 

"Apakah anda rasa ia berlaku atas dasar sukakan Kit Siang, anda rasa Kit Siang sukakan Dr Mahathir?" 

Najib turut melahirkan keyakinan ikatan bersama pembangkang itu tidak akan bertahan lama.

0 comment... add one now