Presiden Baru Amerika, Donald Trump Mahu AS Tarik Diri Perjanjian TPPA

KUALA LUMPUR: Malaysia sedang berbincang dengan negara anggota dalam Perjanjian Perkongsian TransPasifik (TPPA) selepas Donald Trump memenangi Pilihan Raya Amerika Syarikat (AS).


Ia berikutan terdapat kemungkinan AS menarik diri daripada perjanjian itu berikutan Trump kuat membangkitkan retorik antiperjanjian itu sepanjang kempen pilihan raya, dan mendakwa ia menjejaskan ekonomi negara berkenaan.

Bagaimanapun, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed, berkata sebarang andaian pada ketika ini masih terlalu awal kerana Trump boleh berubah fikiran apabila secara rasmi memasuki Rumah Putih sebagai Presiden AS pada 20 Januari tahun depan.

Mengakui pembatalan TPPA berkemungkinan memberi kesan kepada ekonomi negara, beliau berkata sebarang andaian masih terlalu awal dan analisis perlu dibuat secara tenang.

"Banyak kenyataan dibuat ketika kempen, ada sesetengahnya menakutkan tapi ada yang berpandangan ia hanyalah retorik untuk memancing undi.

"Sememangnya akan ada perubahan kerana Trump bertanding untuk mengubah dasar, namun ia tidaklah secara radikal seperti yang disangka," katanya ketika ditemui di Parlimen, hari ini.

0 comment... add one now