PROTON Perkenal MPV Baru, Proton Ertiga

KUALA LUMPUR: PROTON Holdings Bhd akan melancarkan model baharu keempat untuk tahun ini, yang juga kenderaan pelbagai guna (MPV) kedua selepas PROTON Exora, minggu depan.


MPV tujuh tempat duduk yang dipercayai menggunakan nama PROTON Ertiga adalah model sulung pengeluar kereta nasional itu hasil kerjasama strategik yang dijalin dengan Suzuki pada tahun lalu.

Ia yang dibangunkan berasaskan model Suzuki Ertiga, dijana oleh enjin petrol 1.4 Liter dengan VVT dan dikatakan bakal muncul kenderaan pertama keluaran PROTON mendapat pengiktirafan kenderaan cekap tenaga (EEV).

PROTON Ertiga dijangka ditawarkan dalam dua varian iaitu transmisi automatik empat-kelajuan dan transmisi manual lima-kelajuan.

Secara keseluruhannya, tiada perbezaan dari segi spesifikasi enjin mahupun reka bentuk luaran serta kemasan dalaman kerana MPV itu kerana ia mempunyai ciri yang sama dengan Suzuki Ertiga yang dijual di Indonesia.

Jika ada pun perbezaan, MPV keluaran secara usaha sama PROTON dan Suzuki itu ialah terdapat logo pengeluar kereta nasional pada gril bahagian depan dan hiasan krom bahagian belakang, selain dilengkapi lampu reflektor di bahagian tengah bamper belakang.

Dari aspek keselamatan, MPV baharu itu antara lain dipasang dua beg udara di bahagian hadapan, sistem brek ABS + EBD dan stereng kuasa elektronik.

Kehadiran MPV segmen B itu dijangka bakal memberi saingan kepada kenderaan sekelasnya, termasuk PERODUA Alza dan Toyota Avanza.

Sepanjang tahun ini, PROTON sudah melancarkan tiga model baharu iaitu Perdana pada Jun lalu, Persona (Ogos) dan Saga (September).



Pelancaran model baharu berkenaan adalah sebahagian daripada program pemulihan PROTON selepas kerajaan meluluskan pinjaman mudah berjumlah RM1.5 bilion kepada syarikat automotif negara itu pada April tahun ini.

MPV baharu PROTON itu dijangka dijual pada harga sekitar RM60,000 hingga RM65,000.

0 comment... add one now