Rakuten Ganti Qatar Airways Penaja Utama Barcelona

BARCELONA: Syarikat jualan langsung terkemuka Jepun, Rakuten, menjadi penaja utama Barcelona untuk tempoh empat tahun akan datang dengan nilai tajaan sebanyak 55 juta euro (RM258 juta) setahun, umum kelab gergasi Sepanyol itu, sebentar tadi.


Rakuten bakal menggantikan Qatar Airways, syarikat penaja jersi Barcelona sejak 2013, yang dilaporkan membelanjakan 35 juta euro (RM164 juta) pada tahun terakhir perjanjian mereka sehingga penamat kempen 2016-17.

"Saya dengan penuh hormatnya mengumumkan bahawa lembaga pengarah kelab sudah meluluskan Rakuten sebagai penaja global kelab ini untuk tempoh empat tahun akan datang," kata Presiden Barca, Josep Maria Bartomeu, pada sidang media khas di Nou Camp.

Kejayaan hebat Barcelona di atas padang menjadikan ia sebuah kelab yang amat menarik untuk mengiklankan jenama.

Walaupun mengharungi kempen Liga Juara-Juara yang mengecewakan musim lalu, Barca tetap memenangi La Liga dan Copa Del Rey.

Kelab ini juga mempunyai himpunan bintang dunia, aset penting bagi pemasaran kelab itu, yang mempunyai berjuta-juta pengikut di media sosial.

Penyerang sensasi Catalans, Lionel Messi muncul antara pemain paling popular dunia dalam laman sosial, dengan lebih 78 juta pengikut laman Facebook.

Pengumuman perjanjian penajaan baharu itu turut hadir tepat pada masanya ketika kelab itu dalam kerja membesarkan stadium Nou Camp.

Projek itu dijangka bermula pada 2018. Sejumlah 420 juta euro (RM1.89 bilion) dianggarkan untuk projek yang bakal menyaksikan Nou Camp menjadi stadium terbesar di Eropah, dengan mampu menampung 105,000 penonton pada satu-satu perlawanan. - AFP

0 comment... add one now