Semangat Juang Tinggi Harimau Malaysia Wajar Dipuji, Tidak Tarik Diri

YANGON: Harimau Malaysia hanya boleh menyalahkan diri sendiri apabila terkandas di peringkat kumpulan saingan Piala AFF Suzuki 2016. 


Memang pemain sudah melakukan segalanya dan tiada pasukan pun yang bermain untuk kalah, namun kegagalan mara ke separuh akhir sukar untuk ditelan apatah lagi tewas kepada Myanmar yang berada di ranking lebih rendah dari Harimau Malaysia. 

Melihat kepada persembahan keseluruhan skuad itu sepanjang kempen Piala AFF Suzuki kali ini, semangat dan disiplin tinggi pemain ketika di atas padang seharusnya boleh dipuji. 

Namun, kelemahan utama yang mungkin dihadapi Harimau Malaysia ketika ini adalah kita masih kekurangan pemain yang memiliki kemahiran individu yang tinggi termasuk aspek kepantasan, keyakinan menggelecek dengan baik dan melakukan penyudah lebih tajam. 

Jika melihat kepada Vietnam dan Myanmar, mereka memiliki sekurang-kurangnya dua atau tiga pemain yang pantas dan memiliki kemahiran menggelecek yang dilihat sering mengucar-kacirkan pertahanan lawan. 

Pasti banyak mata yang hanya melihat kegagalan itu ke arah jurulatih Datuk Ong Kim Swee, tetapi mungkin beliau tidak boleh dipersalahkan sepenuhnya atas kegagalan itu. 

Pelbagai masalah yang diterima Kim Swee sejak memikul tugas secara rasmi pada Januari lalu termasuk kekurangan pemain yang benar-benar berkualiti dan ditambah pula dengan persaraan empat tonggak utama membuatkan Kim Swee berdepan tekanan. 

Malah, tekanan yang paling memuncak buat jurulatih berusia 45 tahun itu adalah ketika isu meminta Harimau Malaysia menarik diri dari Piala AFF Suzuki. 

Bagi Kim Swee, tiada jalan lain untuk membuktikan pemilihannya sebagai jurulatih Harimau Malaysia adalah tepat dengan menjayakan dua lagi Indeks Prestasi Utama (KPI) yang ditetapkan iaitu meletakkan Malaysia di ranking ke-140 dunia dan layak ke pusingan akhir Piala Asia 2019. 

Berdasarkan persembahan berdepan Myanmar pula, perlawanan tampak seimbang dan mungkin mereka beraksi lebih selesa sebagai tuan rumah selain hanya memerlukan keputusan seri. 

Tekanan tinggi dari puluhan ribu penyokong tuan rumah yang terpaksa dihadapi barisan pemain Harimau Malaysia juga dilihat menjadi faktor mereka gagal mempamerkan aksi yang lebih baik. 

Malah, Harimau Malaysia juga hanya berjaya meledak tiga gol iaitu ketika menewaskan Kemboja 3-2 dan ia menunjukkan skuad itu memerlukan perubahan yang cukup besar terutama di bahagian tengah dan serangan. 

Hanya satu kemenangan daripada daripada tiga aksi di Yangon menunjukkan bola sepak negara wajib menjalani perubahan besar bagi mengelak terus ketinggalan kepada pesaing lain di Asia Tenggara. 

Justeru, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) perlu lebih bekerja keras untuk mencari jalan penyelesaian terbaik bagi mengangkat kembali martabat bola sepak kita.

0 comment... add one now