Siti Saleha Selamat Bertunang Dengan Kekasih Hati

KLANG: Selepas lebih setahun menjalinkan hubungan cinta, aktres jelita, Siti Saleha Baharom, 26, selamat melangsungkan pertunangan dengan kekasih hatinya, Lutfi Azhar, 30, pada majlis tertutup di kediaman keluarganya di Bandar Puteri, di sini, pada jam 11 pagi tadi. 


Lutfi, seorang pegawai kerajaan, hadir bersama rombongan keluarganya. Pihak lelaki menyerahkan lima dulang yang dibalas lima dulang oleh pihak perempuan. 

Ketika ditemui, Saleha berkata, dia bersyukur majlis pertunangan dengan kekasih hatinya itu, lancar. 

"Saya mahukan majlis pertunangan yang ringkas dan tertutup. Disebabkan itulah, saya hanya mengundang ahli keluarga dan kenalan rapat saja. 

"Bukan mahu menyorok hari bahagia, tetapi ini hanya majlis pertunangan. Saya mahukan ruang peribadi untuk keluarga," katanya. 

Aktres yang pernah diangkat Pelakon Filem Wanita Popular, Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) pada tahun 2013 dan 2014 itu memberitahu, dia dan Lutfi saling jatuh cinta apabila mula rapat sejak setahun lalu. 

"Sebelum ini, saya hanya dengar namanya melalui teman selama dua tahun. Apabila diperkenalkan, bermula sebagai kenalan biasa, lama-kelamaan apabila kerap bertemu, hubungan kami mulai rapat. 

"Saya tidak sangka, Lutfi melamar saya ketika kami menghadiri majlis perkahwinan teman baiknya di Cancun, Mexico, Julai lalu. Sejurus selepas dilamar, rombongan lelaki menyusul datang merisik. 

"Hari ini, kami bertunang pula. InsyaAllah, kami akan melangsungkan perkahwinan tahun depan," katanya.

0 comment... add one now