Status Bekas Banduan Halang Anwar Jadi PM - Dr Zuhdi

KUALA LUMPUR: Status Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai bekas banduan dilihat antara penghalang utama untuk sekutunya, Tun Dr Mahathir Mohamad merestui beliau menjadi Perdana Menteri jika Pakatan Harapan (PH) menang Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Status itu juga akan menjejaskan imej Malaysia di mata dunia kerana mengangkat pemimpin nombor satu negara dalam kalangan bekas banduan. 


Pandangan ini disuarakan Pengarah Pusat Penyelidikan PAS, Dr Mohd Zuhdi Marzuki yang menyifatkan status itu perlu ditukar jika pimpinan PH dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) mahu menjadikan Anwar sebagai Perdana Menteri.

Bagaimanapun, katanya beliau tidak nampak bagaimana kaedah atau caranya yang membolehkan PH menukar status itu kerana dari segi perundangan status itu tetap kekal.

"Kecelaruan siapa bakal Perdana Menteri antara PH dan PPBM akan berterusan hingga mereka menghadapi pilihan raya umum akan datang. Dr Mahathir tidak mungkin merestui Anwar menjadi Perdana Menteri walaupun selepas dibebaskan nanti.

"Sekiranya Anwar dibebaskan, beliau tetap berstatus seorang bekas banduan yang pernah disabitkan kes jenayah liwat, meskipun pendukung PH terus menganggap beliau sebagai tahanan politik," katanya kepada BH, hari ini.

Timbalan Presiden Parti Amanah Negara (PAN), Salahuddin Ayub ketika berucap pada Konvensyen Nasional PH hari ini mencadangkan calon baharu menjadi Perdana Menteri dinamakan sementara menunggu Anwar dibebaskan dari penjara.

Bagaimanapun cadangan itu ditolak Dr Mahathir yang menganggap tiada keperluan untuk berbuat demikian selain boleh menimbulkan perbalahan dalam kalangan pakatan.

Mengulas demonstrasi pertubuhan bukan kerajaan (NGO) pro PH yang menolak kemasukan PAS ke dalam pakatan itu, Mohd Zuhdi yang juga Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat berkata, PAS tidak akan sesekali bersama PH seperti ditegaskan Mursyidul Am, Hashim Jasin dan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Sementara itu, Ketua Penerangan PAS, Nasrudin Hassan, berkata PAS tidak mencampuri urusan PH dan terpulang kepada mereka untuk mengangkat sesiapapun menjadi calon Perdana Menteri.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Temerloh berkata, tindak tanduk PH dan sekutu pakatan itu tidak menjejaskan rentak dan persiapan PAS menghadapi pilihan raya umum akan datang.

"Selain itu tindakan membantah PAS menyertai PH adalah suatu kerja yang tidak berfaedah kerana membantah suatu yang tidak berlaku. PAS tidak pernah terlintas untuk menyertai PH," katanya.

0 comment... add one now