Trump Beritahu Najib Ekonomi Malaysia Sangat Baik

PUTRAJAYA: Bakal Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, menyifatkan ekonomi Malaysia sebagai amat bagus berdasarkan perkembangan 4.3 peratus pada suku ketiga 2016, kata Datuk Seri Najib Razak. 


Perdana Menteri berkata, perkara itu dimaklumkan sendiri oleh Trump dua malam lalu ketika mereka berbual menerusi telefon. 

"Secara kebetulan, saya berbual dengan bakal Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, dua malam lalu. 

"Beliau tanya mengenai keadaan ekonomi Malaysia, saya kata ekonomi kita berkembang 4.3 peratus suku ketiga 2016. 

"Beliau kata `kalau begitu, ekonomi Malaysia ini sangat baik. Pada saya, Amerika Syarikat berkembang ekonominya satu peratus, saya hendak mencapai empat peratus'. 

"Jadi, itu reaksi spontan bakal presiden Amerika Syarikat," katanya dalam sesi wawancara khas bersama media di Seri Perdana, hari ini. 

Perdana Menteri berkata demikian sebagai mengulas dakwaan pihak tertentu kononnya Malaysia di ambang kebankrapan walaupun ekonomi negara masih berkembang 4.3 peratus pada suku ketiga 2016 dan piawaian Bank Dunia mendapati pengurusan ekonominya berada di landasan betul. 

Najib berkata, dakwaan oleh sekumpulan kecil itu tidak disokong fakta atau kenyataan sahih. Oleh itu, katanya, penjelasan perlu dibuat kepada rakyat bahawa mereka tidak boleh mempercayai apa yang tidak disokong dengan bukti. 

Perdana Menteri berkata, adalah lebih bijak untuk mempercayai pihak tidak berkepentingan seperti agensi penarafan, Bank Dunia, Tabung Mata Wang Antarabangsa (IMF) dan Bloomberg kerana ulasan serta analisis mereka lebih tepat berbanding dakwaan pihak bermotifkan politik. 

"Saya baru pulang daripada menghadiri persidangan Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC). Di sana saya menemui wakil Moody's (agensi penarafan). Wakil Moody's tidak menegur saya pun (mengenai ekonomi). 

"Kalaulah kita menjurus kepada ekonomi yang akan bankrap, sudah tentu badan penarafan seperti Moody's akan beritahu mereka melihat keadaan ini akan membawa kepada kemudaratan kalau kita tidak lakukan sesuatu. 

"Saya jumpa dengan Christian Lagarde (Ketua Eksekutif IMF), beliau tidak pun membayangkan Malaysia dalam keadaan krisis. 

Maknanya, apa yang berlaku bila ada dakwaan kononnya kita akan jadi 'failed state', kita akan jadi bankrap, ia semata-mata adalah serangan politik," katanya.

0 comment... add one now