Trump dan Israel Bincang Formula Tamatkan Konflik Palestin-Israel

WASHINGTON: Presiden Donald Trump menegaskan hasratnya menamatkan konflik berlanjutan antara Israel dan Palestin, dalam temubual dengan akhbar Wall Street Journal.


Beliau menyifatkan ia adalah perjanjian muktamad, merujuk kepada tahap kesukaran konflik kerana "perang tidak akan tamat".

Sehari selepas memenangi pemilihan presiden Amerika Syarikat, Trump menjemput Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, bertemu dengannya di Amerika. 

"Sebagai penganjur perjanjian, saya mahu melakukan persetujuan yang tidak mungkin dicapai, melakukannya demi kemanusiaan," katanya kepada akhbar itu.

Trump sedar sebarang perjanjian perlu dirunding secara langsung antara Israel dan Palestin, tetapi pentadbirannya akan memainkan 'peranan penting dalam membantu kedua-dua pihak mencapai keamanan yang adil dan berpanjangan', lapor akhbar Hayom.

Beliau juga menegaskan Israel adalah "sinar harapan kepada ramai orang" dan ia berkongsi nilai sama dengan Amerika seperti kebebasan bersuara, kebebasan beragama dan kepentingan mewujudkan peluang kepada semua rakyat mengejar impian mereka.

Kumpulan berhaluan kanan Israel berharap pemilihan Trump akan menamatkan permusuhan antara kerajaan Netanyahu dan pentadbiran Presiden Barack Obama, menurut Jurusalem Post.

Jurucakap Jabatan Negara Amerika, Mark Toner, memberitahu wartawan di Washington: "Saya tidak dapat menafikan ada beberapa inisiatif baru sebelum pentadbiran ini berakhir."

Sementara itu, Presiden Vladimir Putin menawarkan Moscow sebagai lokasi rundingan Israel-Palestin. - Agensi

0 comment... add one now