11 Maut Pertempuran di Utara Myanmar

YANGON: Sekurang-kurangnya 11 maut bulan ini di utara Myanmar dalam pertempuran memuncak antara pasukan keselamatan dan militan bersenjata yang menyukarkan usaha mencapai keamanan dilakukan ketua umum negara itu, Aung San Suu Kyi. 


Ribuan penduduk meninggalkan rumah mereka di negeri Shan sejak pertempuran meletus pada lewat November, dengan ramai menyeberangi sempadan ke China. 

Sebagai reaksi, Beijing meningkatkan kewaspadaan tenteranya, bimbang keganasan merebak ke wilayahnya selepas beberapa warga negara itu terbunuh tahun lalu. 

Mayat sembilan anggota polis yang dibunuh pemberontak pada 2 Disember lalu ditemui, lapor Global New Light of Myanmar pada Khamis. 

Dua penduduk awam juga dilaporkan terbunuh dalam kejadian itu. Secara keseluruhan, sekurang-kurangnya 30 anggota tentera, militia prokerajaan dan penduduk awam maut sejak pertempuran bermula, menurut kiraan media. 

Pertempuran menyebabkan tamparan baru kepada harapan Suu Kyi membentuk perjanjian damai seluruh negara untuk menamatkan pemberontakan berdarah selama beberapa dekad yang berlaku sepanjang sempadan negara itu. 

Suu Kyi menjadikan usaha menangani konflik sebagai keutamaannya selepas kerajaan pimpinannya mengambil alih kuasa awal tahun ini, menamatkan pemerintahan disokong tentera selama beberapa dekad. 

Namun pertemuan di negeri Kachin dan Shan di utara dan Karen di selatan, menyulitkan usaha beliau dan sebarang gencatan senjata dijangka masa bertahun-tahun untuk dipersetujui. 

Tentera Myanmar juga melancarkan tindakan berdarah di negeri Rakhine yang memaksa lebih 20,000 penduduk Islam Rohingya melarikan diri ke Bangladesh. 

Penganalisis berkata, ketegangan baru di Shan itu mengancam pusingan kedua rundingan damai yang dijadualkan Februari ini dan mengukuhkan peranan tentera, yang masih mempunyai kuasa. - AFP

0 comment... add one now