14 Maut Bas Ekspres Dipandu Terlalu Laju

MUAR: Bas dipandu terlalu laju dipercayai punca nahas mengorbankan 14 nyawa dalam kemalangan maut di Kilometer 137.2 Lebuhraya Utara-Selatan arah utara berhampiran Kampung Jayor dekat sini awal pagi tadi. 


Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Azman Ayob, berkata siasatan awal mendapati nahas jam 3.45 pagi itu tidak membabitkan kenderaan lain. 

"Hasil siasatan awal, kami percaya bas ekspres Alisan Golden Coach dari JB Sentral ke Terminal Bersepadu Selatan, Kuala Lumpur, itu terbabas ke kiri jalan dan mempunyai kesan tayar pada tanah sejauh 150 meter tanpa kesan brek. 

"Ia kemudian melambung dan terjunam ke dalam gaung sedalam hampir 10 meter sebelum terhenti apabila bahagian depan bas merempuh terowong konkrit di Kampung Jayor. 

"Akibat hentakan kuat itu, 12 daripada 30 penumpang serta pemandu bas berkenaan meninggal dunia di tempat kejadian manakala seorang penumpang meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF), di sini. 

"Semua yang maut adalah penumpang yang duduk di bahagian hadapan bas berkenaan," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Muar, di sini, sebentar tadi. 

Azman berkata, seramai enam lelaki dan lapan wanita termasuk seorang kanak-kanak maut, manakala baki 16 penumpang cedera parah dan ringan dikejarkan ke HPSF untuk mendapatkan rawatan kecemasan. 

Katanya, lebih 50 pasukan keselamatan dikejarkan ke lokasi membabitkan polis; bomba dan penyelamat; Agensi Pertahanan Awam Malaysia (APM) serta petugas hospital dan operasi menyelamat tamat pada jam 7.30 pagi. 

Beliau berkata, polis cuba menghubungi pengurusan bas ekspres berkenaan namun belum mendapat jawapan. 

"Semua identiti mangsa yang maut belum dikenal pasti, manakala mangsa yang cedera terdiri daripada tujuh lelaki tempatan; lima lelaki Singapura; dua lelaki Myanmar; seorang wanita Singapura dan seorang wanita belum diketahui identiti. 

"Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan APJ 1987," katanya. 

Senarai mangsa cedera dan kini dirawat di Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF), Muar. 
  1. Muhammad Hilmi (Singapura) 
  2. Mustafa Yasin (Singapura) 
  3. Muhamad Juhaify (Malaysia) 
  4. Muhammad Syafiq (Malaysia) 
  5. Zaw Oo (Myanmar) 
  6. Mohamed Taufik (Malaysia) 
  7. Alifah Mohd Said (Singapura) 
  8. Cyril Joseph (Malaysia) 
  9. R. Nagadevan (Malaysia) 
  10. Mohd Syed (Singapura) 
  11. Ral Za Uk (Myanmar) 
  12. Kesavan (Malaysia) 
  13. Govinda Raj (Singapura)  
  14. Muhammad Abdullah (Malaysia) 
  15. Muhammad Fitri (Singapura) 
  16. Seorang lagi yang identiti masih belum dikenal pasti

0 comment... add one now