15 Cedera Dalam Kemalangan 'Burger' Melibatkan 5 Kenderaan

KULAI: Sekurang-kurangnya 15 cedera dalam kemalangan membabitkan lima kereta di Kilometer 36.5 dari Sedenak menghala ke Kulai, Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS), dekat sini, tengah hari tadi. 


Kejadian jam 12.45 tengah hari membabitkan Proton Waja, Toyota Unser, Nissan Sunny, Proton Preve dan Proton Exora itu menyebabkan kesesakan lalu lintas sehingga 10 kilometer selain lorong kanan turut terhalang. 

Pelanggaran itu menyebabkan kereta bertindih di antara satu sama lain sehingga ramai mangsa tersepit dan cedera. Pegawai operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Kulai, Mohd Khairil Azmi, berkata pihaknya menerima laporan kejadian pada jam 12.46 tengah hari dan tiba di lokasi kejadian jam 1.12 tengah hari. 

"Bomba membantu mengeluarkan seorang wanita berusia 34 tahun yang tersepit dalam keretanya sebelum dihantar mendapat rawatan ke Hospital Temenggong Seri Maharaja Tun Ibrahim, Kulai," katanya. 

Kebanyakan mangsa yang cedera dihantar oleh orang ramai untuk mendapat rawatan di hospital yang sama. 

Selain itu bomba turut menabur tanah di lokasi kejadian bagi menyerap kesan minyak yang tumpah di jalan raya yang membahayakan pemandu lain.


0 comment... add one now