200 Jemaah Terkandas Penerbangan Dibatalkan

BANDAR BARU NILAI: Lebih 200 bakal jemaah umrah terkandas di sini, hari ini, berikutan pembatalan penerbangan mereka ke Tanah Suci, malam tadi. 


Mereka yang datang dari beberapa negeri seperti Johor, Perak dan Selangor, sepatutnya menaiki pesawat yang disewa khas dari sebuah syarikat penerbangan, kira-kira jam 10.30 malam tadi. 

Bagaimanapun, kebanyakan bakal jemaah dimaklumkan melalui pesanan WhatsApp bahawa penerbangan itu dibatalkan. 

Pengurus sebuah syarikat dari Ipoh, Perak, A Husaini Rahman, 41, berkata pembatalan pemergian dimaklumkan ketika dalam perjalanan ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) petang semalam dan jemaah diminta pergi ke sebuah hotel di sini. 

"Saya diberitahu bahawa pembatalan itu kerana kapal terbang yang sepatut membawa kami tidak mendapat kebenaran mendarat di Arab Saudi," katanya ketika ditemui di sebuah hotel di sini, hari ini. 

Mokhtar Mohamad, 62, dari Batu Pahat, Johor, pula berkata syarikat pengendali umrah itu beberapa kali menangguhkan penerbangan sejak 5 Disember lalu. 

"Akhirnya syarikat itu beritahu kami akan berangkat ke Tanah Suci malam tadi, tetapi sebelum tiba di KLIA, penerbangan dibatalkan," katanya. 

Sementara itu, wakil syarikat pengendali umrah yang memberi penerangan kepada bakal jemaah memberitahu, mereka berusaha untuk memastikan semua jemaah dapat pergi ke Tanah Suci. 

Beliau yang enggan memberitahu nama dan jawatannya berkata, jemaah akan dimaklumkan selewat-lewat malam ini sama ada dapat berbuat demikian. Beliau mendakwa masalah itu berpunca akibat masalah di Arab Saudi dan bukan akibat pengurusan syarikat itu.

0 comment... add one now