6 Lelaki Bertopeng Bunuh Penarik Kereta Gunakan Pedang

KOTA BHARU: Seorang lelaki berusia 48 tahun, maut diserang enam individu bertopeng di Kampung Ayer Merah, Batu Gajah, Tanah Merah, dekat sini, awal pagi tadi. 


Dalam kejadian kira-kira jam 2 pagi itu, mangsa, Wan Ishak Wan Daud, cedera parah di pergelangan tangan kanan, belakang badan dan kaki kiri serta mengalami pendarahan teruk. 

Timbalan Ketua Polis Kelantan, Senior Asisten Komisioner, Din Ahmad, berkata mangsa, seorang penarik kereta dipercayai diserang dengan pedang sehingga mengalami kecederaan parah. 

"Anggota kami menerima panggilan kira-kita jam 2 pagi dan terus ke lokasi. Mangsa ditemui terbaring di beranda rumahnya dalam keadaan berdarah. 

"Mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian dan dibawa ke Hospital Tanah Merah (HTM) untuk bedah siasat," katanya kepada pemberita di Masjid Umar Abdul Aziz, Mukim Ketereh, di sini, sebentar tadi. 

Din berkata, hasil siasatan awal polis sudah mengenal pasti semua penyerang mangsa. 

"Polis percaya kes ini bermotifkan dendam dan kita percaya dapat menangkap semua suspek dalam masa terdekat. 

"Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan," katanya.

0 comment... add one now