Acha Septriasa dan Vicky Selamat Bernikah

JAKARTA: Artis jelita Indonesia, Acha Septriasa selamat bergelar isteri kepada jejaka pilihan, Vicky Kharisma di Hotel Le Meridien, di sini, semalam. 


Acha yang mencipta nama melalui filem Heart, bersyukur hubungan sembilan tahun dengan Vicky berakhir dengan perkahwinan. 

Malah, Acha akan berpindah ke Australia mengikut suaminya yang bekerja di negara itu. Ibu Acha yang dikenali sebagai Rita Emza, bersyukur anaknya selamat bernikah dengan Vicky. 

"Alhamdulillah, lega rasanya apabila Acha sah bergelar isteri kepada Vicky. Sebagai orang tua, kami harus ikhlas dan bersedia melepaskan anak perempuan mengikut suami. 

"Sebagai ibu bapa, kami hanya mampu memberi nasihat untuk Acha bersama suami tidak kira di mana saja dia bekerja. Malah, suami juga berperanan sebagai ketua keluarga dan bertanggungjawab mencari nafkah.

"Isteri pula isteri harus berada di samping suami," katanya. Rita juga berharap anaknya dapat menjadi isteri yang baik dan taat kepada Vicky. 

"Kami menerima baik kehadiran Vicky sebagai ahli baharu keluarga kami," katanya. 

Sebelum ini, berita pertunangan bekas kekasih Irwansyah itu menjadi tanda-tanya apabila Acha memuat naik gambar bersama kekasihnya dalam kapal terbang sambil menunjukkan cincin bertakhta berlian di jari manisnya. 

Gadis cantik berusia 27 tahun itu membuat mimik wajah seperti sedang terkejut, sementara Vicky santai tersenyum sambil memandang kamera. 

Acha sebelum ini pernah melangsungkan pertunangan dengan Radipto Indra Rukmana atau lebih mesra dengan panggilan Dito pada 21 Julai 2014, namun putus tidak lama kemudian.

0 comment... add one now