Annuar Musa Cadang Tok Mat Hasan Pimpin FAM

KUALA LUMPUR: Bekas Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA), Tan Sri Annuar Musa mencadangkan Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Sembilan (PBNS), Datuk Seri Mohamad Hasan untuk tampil memimpin Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM). 


Walaupun tidak menyebut jawatan yang patut dipegang Mohamad dalam FAM, namun kenyataan Annuar itu mungkin mahu Menteri Besar Negeri Sembilan itu memikul tanggung jawab selaku presiden baharu badan induk berkenaan. 

Annuar berkata, pengalaman yang ada pada Mohamad selepas menjadi presiden persatuan negeri paling lama mampu mengembalikan FAM sebagai badan induk sukan nombor satu rakyat. 

"Presiden PBNS, Dato Seri Utama Mohamad Hassan adalah presiden persatuan bola sepak negeri yg (yang) paling lama memimpin persatuan bola sepak negeri... demikian mengikut Dato Hamidin (Mohd Amin) SU (Setiausaha) AGUNG FAM.. 

"Presiden FAM harus dipimpin oleh salah seorang presiden badan gabungan.. Dgn (dengan) itu President Pbns yg (yang) juga seorang bekas pemain bola PATUT TAMPIL MEMIMPIN FAM... 

"Mengembalikan FAM sbg (sebagai) BADAN INDUK SUKAN NO 1 RAKYAT... pimpinan kolektif, terbuka, sederhana dan membawa kejernihan dan harmoni dalam warga besar bola sepak Malaysia... Satu cadangan...," kata Annuar dalam satu kenyataan di Facebook miliknya, hari ini. 

Annuar yang juga bekas Timbalan Presiden FAM dalam kenyataan di Facebook sama kelmarin mempertikai pendirian Persatuan Bola Sepak Melaka United (MUSA) yang mencadangkan supaya FAM ditadbir secara proksi. 

Cadangan MUSA bagi melantik Tan Sri Aseh Che Mat sebagai presiden badan induk itu untuk membolehkan Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim terbabit dalam FAM adalah sama sekali tidak boleh diterima kerana melanggar statut badan induk berkenaan. 

Bagaimanapun, TMJ dilaporkan berkata beliau tidak perlu menerima nasihat daripada seorang pemimpin yang gagal untuk membuat keputusan menjadi Presiden FAM atau sebaliknya.


0 comment... add one now