Astro Raih Untung RM208.75 Juta Suku Ketiga 2016

KUALA LUMPUR: Astro Malaysia Holdings Bhd mencatat keuntungan sebelum cukai pada suku ketiga berakhir 31 Oktober 2016 meningkat kepada RM208.75 juta daripada RM136.52 juta yang dicatat pada suku sama tahun sebelumnya. 


Pengendalian perkhidmatan TV satelit berbayar itu dalam pengumumannya kepada Bursa Malaysia berkata, pendapatannya meningkat 3.6 peratus kepada RM1.42 bilion daripada RM1.37 bilion sebelumnya, didorong peningkatan langganan, pengiklanan, beli-belah dari rumah dan lain-lain pendapatan. 

Sementara itu, dalam kenyataan berasingan, Pengerusi Astro, Tun Zaki Azmi berkata: 

"Kumpulan Astro terus berjaya mencatatkan strategi pertumbuhan yang positif untuk menjana pembentukan nilai pemegang saham. 

"Justeru itu, pihak Lembaga Pengarah sukacita mengumumkan dividen interim ketiga bernilai tiga sen sesaham iaitu 9.0 peratus lebih tinggi berbanding dengan tempoh yang sama tahun lalu". 

Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulannya, Datuk Rohana Rozhan, berkata pihaknya melihat ada pertumbuhan dari segi jangkauan dan pembabitan atau interaksi di semua platform syarikat. 

"Perkhidmatan TV kami berjaya menembusi 70 peratus isi rumah di Malaysia dengan lima juta pelanggan (Perkhidmatan TV Berbayar: 3.4 juta, dan NJOI: 1.6 juta). 

"Perkhidmatan OTT dan On Demand (OD) yang ditawarkan menerusi platform Astro on the Go (AOTG) dilihat terus diterima baik pengguna, sehingga berjaya mencatatkan peningkatan pelanggan berdaftar seramai 1.1 juta ( naik 31 peratus dari tahun ke tahun) dengan purata tontonan secara mingguan selama 130 minit. 

"Perkhidmatan OD menyaksikan 600 ribu video dimuat-turun pada setiap bulan. Platform media sosial kita pula kini menjangkaui sejumlah 5.1 juta pengunjung unik dalam masa sebulan. 

"Portal hiburan berbahasa Melayu kami, Astro Gempak kini turut diumpamakan sebagai saluran You Tube versi Malaysia apabila memiliki sejumlah 1 juta penonton dengan 625.5 juta tontonon, dan jumlah ini kian meningkat saban hari," jelas beliau.


0 comment... add one now