Bercerai Muda, Dimanakah Silapnya?


BERCERAI MUDA, DI MANA SILAPNYA?
Artikel oleh : Ibn Jawi 

Kita berada dihujung-hujung cuti sekolah. Telah banyak majls kenduri kahwin (walimatul arus) yang telah kita hadiri. 

Bahkan, mungkin ada banyak lagi kad-kad jemputan kahwin yang perlu kita hadiri dihujung-hujung akhir tahun ini. Begitulah meriahnya orang kita berkahwin. 

Sudah menjadi adat orang Melayu dengan budaya kenduri-kendara (bangsa Melayu meraikan hadis nabi yang menyarankan agar umatnya menjamu makan). Sebenarnya, artikel ini adalah mengenai sedikit ulasan berkaitan isu sosial semasa yang melanda tanah air.

Sebanyak 532,158 kes kelahiran anak luar nikah didaftarkan kepada Jabatan Pendaftaran Negara dari tahun 2005 hingga 2015. 

Ini bermakna, secara purata, 53,215 kes setiap tahun, 4,434 kes sebulan, 147 kes setiap hari dan 6 kes setiap jam tercatatnya kelahiran anak luar nikah. Sebanyak 16,270 kes kehamilan remaja belum berkahwin pula dicatatkan dari 2012 hingga 2015. Ini hanya yang berdaftar. 

Berapa banyak lagi yang belum mendaftar. Bahkan, ada juga kes yang membuang bayi. Sebanyak 526 kes pembuangan bayi telah tercatat. 

Mengapa begitu sadis statistic ini? Di zaman yang serba terbuka lagi terdedah ini, begitu besar ujian social yang kita hadapi. Hanya dihujung jari dan dihadapan skrin smartfon, segalanya mungkin berlaku. Anak-anak muda sedang panas syahwatnya. Maka mudahlah berlakunya perkara-perkara tidak diingini. Ya… ada benarnya juga keluhan, “Apabila perkahwinan itu disusahkan, maka zina menjadi mudah”. Namun, adakah dengan perkahwinan, terus masalah menjadi selesai 100%?

BACA: Benarkah Kamu Sudah Bersedia Untuk Bertemu Jodohmu?

Bahkan, jika memasuki alam perkahwinan, lain pula dugaan dan isu yang melanda iaitu kes CERAI. Rekod Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia, sebanyak 38,035 pasangan ISLAM telah memfailkan kes penceraian di mahkamah pada tahun ini dari Januari hingga Ogos. 

Ini bermakna, secara purata sebanyak 4754 kes pada setiap bulan, 158 kes dalam sehari dan 6 kes dalam satu jam kes cerai direkodkan. Kebanyakan pasangan yang bercerai adalah di kalangan pasangan muda-mudi yang usia perkahwinannya belum mencecah 5 tahun. Ini menunjukan tempoh 5 tahun pertama perkahwina adalah tempoh yang getir dan banyak dugaan. Antara penyumbang utama hal ini adalah isu pengurusan ekonomi rumah tangga dan komunikasi yang rapuh. Dah selamat dari isu zina, terjerumus pula ke isu cerai.

Maka artikel kali ini, Ibn Jawi sedang menghuraikan sedikit kajian, penelitian dan pandangan peribadi berkenaan isu CERAI ini. Untuk melihat corak rumah tangga kita pada masa hadapan, lihatlah bagaimana kita memulakan perkahwinan tersebut. Adakah berlandaskan rahmah dari Tuhan atau semata-mata demi memuaskan kehendak. Mulakanlah dengan niat berkahwin yang baik kerana bencana akan berlaku sekiranya niat perkahwinan kita terpesong. Perkahwinan yang gagal selalunya lahir dari “mind set” yang salah.

Pertama:

"Mind set" perkahwinan sama ada bagi lelaki atau perempuan perlulah diperbetulkan. Kaum wanita hanya memikirkan HARI PERTAMA perkahwinan. Hendak memakai pakaian mahal-mahal. Majlis ratusan ribu ringgit. Hantaran hendak lebih tinggi dari anak jiran. Majlis resepsi dihotel-hotel mewah. Pelamin ribu-riban ringgit. Malah sanggup berhutang demi memastikan majlis pada hari pertama terlihat grand di mata rakan-rakan. Masuk saja hari kedua, kedua-dua laki bini sudah makan nasi berlauk garam. Kepala mula menjadi botak memikirkan cara untuk membayar hutang. Termenung mengenang kemeriahan seketika majlis kelmarin. Maka Berpada-padalah.

Jika wanita hanya memikirkan hari pertama perkahwinan, sang lelaki pula hanya memikirkan hal MALAM PERTAMA

Di khatamnya Permata Yang Hilang dan dipelajarinya Kamasutra. 

Tidaklah salah perkara ini malah dituntut untuk mengetahui ilmu ini. Namun, janganlah sangka perkahwinan itu hanya berkenaan keseronokkan malam pertama sahaja. Bagaimana pula dengan malam esok tatkala isteri sudah tidak senang duduk kerana rumah tangga sering diganggu Ah Long dan hanya makan nasi berlauk garam. Perhatian, komunikasi dan kasih sayang bukan hanya pada malam pertama, malah perlu berterusan. Tidak seharusnya leka berdota atau COC di alam perkahwinan sehingga mengabaikan taggungan.

Kedua:

Berkenalan di media social, belajar ilmu perkahwinan di media social, meluah perasaan setelah kahwin juga dimedia social sehingga terdedahnya aib rumah tangga. Komunikasi amat lah penting, jadi berbincanglah bersama-sama. Tidak salah berkenalan melalui media social sebaliknya media social perlu digunakan sebaiknya ke jalan yang betul. Tetapi janganlah sampai pada suatu tahap, oleh kerana menjadikan media sosal sebagai kitab teragung, apabila berlaku sesuatu masalah, maka berita-berita artis bercerai juga dijadikan pedoman. Lalu kita pun bercerai dek kerana pemikiran hanya berpaksikan kepada media social.

Ketiga:

Usahlah terlampau mendambakan kemewahan ala syurgawi seperti dalam novel dan drama yang terlalu terapung di awang-awangan. Muda-muda menaiki kereta mewah, rumah besar, sembang projek juta-juta dan krisis perwarisan empayar perniagaan. Berpijaklah di dunia yang nyata. Tak ramaipun orang kita yang sedemikian rupa. Yang ramainya adalah mereka yang terpalit dengan hutang pasca alam belajar atau pra alam pekerjaan. 

Usahlah terlampau terpesona dengan kemewahan majlis perkahwinan ala-ala diraja yang selalu dipamerkan di rancangan "Nano". 

Sedarlah kadangkala, perkahwinan mahal-mahal seperti ini tak mustahil boleh berakhir dengan pergaduhan atau penceraian di mahkamah dengan memakai cermin mata hitam sepertimana yang kita kita dapat tonton melalui rancangan Melodum (Terjah zazzz). 

Kadangkala cinta para artis ni, belum apa-apapun dah terdengar ura-ura hubungan terputus walaupun sebelum ini beriya-iya menafikan hubungan cinta ketika disoal wartawan. 

Jawapan cliché yang sering menjadi tiki-taka (teka-teki) kepada para peminat adalah seperti, “No komen. Kami hanya sahabat baik dan bertindak professional di set pergambaraan bagi membawa watak”. Ini membuktikan bahawa kehidupan artis belum tentu boleh dijadikan ikutan terbaik dalam dunia perkahwinan.

Solusi:

Orang nak kahwin, kita pon sibuk nak kahwin. Tapi orang yang bijak akan mencari ilmu alam perkahwinan terlebih dahulu. 

Perkahwinan perlulah didasari dengan ilmu. Pergilah mendalami ilmu-ilmu munakahat dahulu sebelum menjalani praktikal alam perkahwinan. Kenal mana darah haid, mana istihadhah, mana nifas, mana wiladah, mana mani, mana mazi,mana wadi mana hadas besar, mana hadas kecil dan sebagainya. Perkukuhkan ilmu-ilmu asas fardhu ain. 

Hal ini bukanlah untuk membebankan kita, tetapi ianya demi menjamin keberkatan rumah tangga. Jika ilmu fardhu ain pun tak terjaga, macam mana nak jaga anak dara orang? Menjaga makhluk Tuhan bernama wanita ini begitu besar cabarannya. 

Bencana jika tidak pandai menjaga tetapi bahagia jika betul caranya. Sesungguhnya wanita seperti bengkoknya tulang rusuk, patah jika terkasar, terus membengkok jika dibiar.

Kenalilah mana hak suami. Mana hak isteri. Apa tanggungjawab suami. Apa tanggungjawab isteri. Apa hak dan tanggungjawab bersama. 

Semua ini hanya dapat kita pelajari melalui kitab-kitab fiqah rubu’ munakahat. Hal ini adalah bagi memastikan kita mendapat ilmu perkahwinan dengan cara yang sahih bukannya mengaji melalui media sosial yang sering tidak tepat menghurai hadis rumah tangga Rasulullah. 


Ilmu itu melalui tafaqquh bukannya melalui rujukan laman hedonism demi “menghalalkan” relationship goal merapu dan tidak syarie. Ilmu perkahwinan sebenar tidak dapat dicerap sepenuhnya hanya melalui laman “Kisah Rumah Tongga”, “Alaf Channel”, “Rahsia Haba” atau hanya sekadar menonton “Wanita Hari Itu”. 

Setiap wanita yang inginkan kebahagian, pastikan bakal pasangan anda telah khatam asas fardhu ain ini. Manakala sang bakal suami pula, anda perlulah bersedia menggalas tugas berat di alam perkahwinan. Setelah lengkap hal ini, maka barulah matang untuk seseorang itu berkahwin. 

Selamat Pengantin Baharu kepada mereka yang baru melansungkan perkahwinan. Moga kekal bahagia dan mendapat rahmah serta berkat dari Allah. Begitu juga kepada yang telah lama berkahwin. 

Manakala untuk yang bakal mendirikan rumah tangga, ingatlah bahawa sebelum berkahwin, penuhkan dada kita dengan Ilmu, Ilmu, dan Ilmu. Maka terhindarlah dari bahana “Suami Dayus, Isteri Nusyuz”. - The Patriots

BACA JUGA: Kenapa Allah Hantar Seseorang Untuk Kecewakan Kita?

0 comment... add one now