Berkenalan di Whatsapp, Ummi Nazeera & Mr I Akan Berkahwin Tahun Depan

KUALA LUMPUR: Pelakon popular, Ummi Nazeera, 26, bertunang dengan jejaka pilihan keluarga yang hanya mahu dikenali sebagai Mr I pada majlis tertutup di kediamannya, kira-kira jam 2.30 petang semalam. 


Bertugas sebagai doktor dan berasal dari ibu negara, Mr I yang berusia 29 tahun, diwakili keluarganya menyerahkan lima dulang berbalas lima oleh pihak perempuan. 

Ummi yang popular dengan drama bersiri, Patahnya Sebelah Sayap, kelihatan anggun menyarung persalinan rekaan Fizi Woo pada hari bersejarah itu. Ummi berkata, dia bersyukur majlis yang dihadiri 100 tetamu merangkumi keluarga terdekat kedua belah pihak berjalan lancar. 

"Bukan bertujuan mahu menyorokkan hari bahagia ini. Sebaliknya, keluarga mahukan majlis ringkas dan tertutup yang dihadiri oleh keluarga rapat saja. Lantaran itu, saya harus menghormati permintaan mereka yang inginkan ruang privasi," katanya. 

Ummi memberitahu, dia diperkenalkan dengan Mr I oleh ibu pemuda terbabit pada 29 Januari lalu. 

"Sejujurnya, kami tidak pernah bertemu atau bertentang mata sebelum ini. Saya hanya mengenali Mr. I pada 31 Januari lalu apabila dia menghantar pesanan untuk berkenalan menerusi aplikasi WhatsApp. Sejak itu, kami hanya berkomunikasi menerusi mesej tanpa bercakap atau mendengar suara masing-masing di talian telefon.

"Apabila memasuki sebulan setengah perkenalan menerusi mesej, dia akhirnya menelefon saya buat kali pertama sekali gus meluah perasaan untuk bertemu. 

"Saya mengatakan bahawa dia boleh berjumpa saya dengan bersyarat dia kena menemui ibu saya, Datuk Sri Maziah Musa, terlebih dulu," katanya. 

Ummi berkata, tunangnya berani apabila datang ke rumah keluarga untuk berkenalan sambil menikmati makan malam bersama ibu. 

"Itu tanda adalah kali pertama kami bertemu. Keberanian yang dimilikinya itu menyebabkan saya membuat kesimpulan bahawa dia mampu menjadi ketua keluarga kepada saya. 

"Dalam hati saya, dia berjaya melepasi ujian pertama apabila bertemu dengan ibu saya. Atas dasar itu, saya menerima keikhlasan hatinya apatah lagi hubungan ini menerima restu daripada ibu saya. Itu yang paling penting dan bahagia buat saya," jelasnya. 

Memasuki usia tiga bulan mengenali hati budi masing-masing, Mr I akhirnya melamar Ummi untuk meneruskan hubungan itu ke fasa seterusnya. 


"Dia berjumpa ibu saya sekali lagi untuk meminta persetujuan bagi menghantar rombongan merisik. Majlis merisik diadakan dua minggu selepas Aidilfitri lalu. Selepas menerima persetujuan daripada ibu dan saya, kedua belah pihak mencapai kata sepakat untuk melangsungkan pertunangan hari ini," kata Ummi. 

Pasangan itu bakal melangsungkan perkahwinan tahun depan.

0 comment... add one now