"Adegan Cium Adalah Tanggungjawab Pelakon"

AKTRES berdarah campuran Indonesia-Jerman, Cinta Laura memilih untuk bersikap profesional dengan melaksanakan babak bercium dalam filem The Ninth Passengers yang dianggap sebagai tanggungjawab pelakon. 


Katanya, biar ada pihak melihat produksi filem antarabangsa yang berpangkalan di Los Angeles itu menyajikan adegan panas, beliau punya syarat tertentu supaya ia tidak melampaui batas. 

"Ini kali pertama saya menjayakan babak begini di hadapan kamera. Apa yang pasti saya memilih untuk bersikap profesional. Tidak dinafikan pelbagai komen negatif bakal timbul nanti tetapi saya tahu batas sebagai wanita Timur. 

"Setakat ini saya tidak mengalami sebarang kesukaran terutama ketika adegan berkenaan. Cuma babak berkucup itu perlu diulang beberapa kali bagi mengambil sudut kamera. 

"Bagi saya tiada yang panas dalam The Ninth Passengers. Ia sekadar adegan berkucupan, dan tidak lebih daripada itu. Saya lebih dulu meletakkan syarat kepada pengarah sebelum penggambaran dengan menggariskan tiada babak melampaui seperti menanggalkan baju," katanya.. 

Bagi menepis rasa janggal atau gugup, aktres berusia 23 tahun itu melihat adegan berkenaan sama seperti tanggungjawab lain yang perlu dipenuhi selaku pelakon versatil. 

Menerusi filem aksi thriller arahan Ian Pfaff itu, Cinta Laura membawakan watak seorang daripada penumpang kapal layar bernama Nicole yang turut berdepan pengalaman mencemaskan. 

Filem yang dirakam di lokasi di Kanada itu juga menjadi penanda aras baginya untuk melebarkan kerjaya seni di peringkat antarabangsa, bukan setakat di Indonesia saja.


0 comment... add one now