'Jangan Dengar Nasihat Dari Pemimpin Gagal' - TMJ Kecam Tan Sri Annuar Musa

KUALA LUMPUR: Pemilik Johor Darul Ta'zim (JDT), Tunku Ismail Sultan Ibrahim menegaskan beliau tidak perlu menerima nasihat daripada seorang pemimpin yang gagal untuk membuat keputusan menjadi Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) atau sebaliknya. 


Jelasnya, individu itu sendiri memiliki kelemahan dalam pengurusan kerana pasukan yang ditadbirnya berdepan dengan masalah kewangan sehingga memaksa menarik diri daripada menyertai Liga Malaysia (Liga M) musim depan. 

"Apabila anda berada dalam kedudukan di mana anda mempunyai banyak penaja, anda sepatutnya menggunakan peluang itu untuk melangsaikan semua hutang anda. 

"Namun, anda membuat keputusan dengan mengambil khidmat jurulatih import baharu dan tiga pemain import tambahan. 

"Dengan keputusan ini, orang yang menjadi mangsa adalah pemain tempatan kerana mereka tidak menerima gaji. Sepatutnya, keutamaan diberikan kepada pemain tempatan, bukan pemain import. 

"Ia jelas menunjukkan bahawa anda terlebih membayar pemain import dan hasilnya anda tidak mampu untuk mengekalkan kelab (di Liga M). 

"Perkara itu tidak berakhir di sini, kita dapat lihat prestasi Kelantan mulai merosot dan cukup jelas bahawa kapal terbabit mulai karam. 

"Lebih memburukkan lagi keadaan sebagai nakhoda kapal, anda memilih untuk meninggalkan kapal dan membiarkan anak kapal anda menderita. Dengan situasi itu, anda masih ada keinginan untuk menjadi Presiden FAM," katanya menerusi akaun Facebook rasmi pasukan itu, Johor Southern Tigers, semalam. 


Kenyataan itu dipercayai sebagai mengulas tindakan bekas Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA), Tan Sri Annuar Musa mempertikaikan cadangan Persatuan Bola Sepak Melaka United (MUSA) supaya FAM ditadbir secara proksi. 

Annuar mendakwa cadangan melantik Tan Sri Aseh Che Mat sebagai presiden untuk membolehkan Tunku Ismail terbabit dalam pengurusan FAM tidak boleh diterima kerana melanggar statut badan induk berkenaan. 

Justeru, Tunku Ismail menasihatkan individu terbabit supaya menumpukan perhatian kepada kerjaya politik kerana beliau adalah ahli politik senior yang sangat berpengalaman dan dihormati dalam kalangan masyarakat. 

"Sila berikan tumpuan kepada tanggungjawab politik anda dan mungkin anda akan dapat membersihkan keadaan kucar-kacir serta skandal di MARA. 

"Mari kita serahkan kepada rakyat dan ahli gabungan membuat keputusan mengenai apa yang terbaik untuk bola sepak Malaysia. 

"Bola sepak tidak memberi apa-apa manfaat kepada saya. Ia hanya satu sukan yang saya cintai. Beza antara sesetengah individu dengan saya adalah mereka berkhidmat kepada ideologi parti politik dan kepentingan peribadi. Saya berkhidmat untuk rakyat," katanya.

Kemaskini: Kenyataan Balas Tan Sri Annuar Musa Ini Akan Buat TMJ Terdiam

Sumber: BH Online

0 comment... add one now