Ditemui Merangkak Tepi Sungai Selepas 13 Hari Dilaporkan Hilang

KUALA TERENGGANU: Misteri kehilangan seorang lelaki sejak 12 hari lalu terurai apabila dia ditemui dalam keadaan merangkak dalam semak di tebing Sungai Terengganu di Kampung Losong Atap Amar, di sini, malam semalam. 


Muhamad Anuar Elias, 34, yang dilaporkan hilang sejak 27 November lalu, ditemui rakan baiknya Hamdan Mat Daud, 38, selepas dia terdengar suara mangsa meminta tolong ketika sedang menjala udang, kira-kira jam 7.40 malam. 

"Saya terkejut apabila mendapati Muhamad Anuar sedang merangkak di bawah pokok rengas dalam semak berhampiran tebing sungai seolah-olah sedang mencari jalan keluar. 

"Ketika itu, keadaan Muhamad Anuar tidak bermaya dan dia meminta tolong saya belikan nasi, daging masak merah dan air susu," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian, tengah hari tadi. 

Muhamad Anuar yang bekerja sendiri dan tinggal dalam sebuah pondok di tebing Sungai Terengganu sejak lapan tahun lalu disangkakan lemas dalam sungai berkenaan sejak kehilangannya. 

Kehilangan pencari udang itu dianggap misteri kerana pelbagai usaha mencari dan menyelamat dilakukan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia negeri, Angkatan Pertahanan Malaysia (APM) negeri, Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta penduduk kampung, namun gagal menemuinya. 

Hamdan berkata, ketika sedang menjala udang, dia terdengar suara seseorang sedang memanggil namanya dan selepas diamati, suara itu datangnya dari semak di kawasan pokok rengas. 

"Saya terkejut apabila mendapati suara itu adalah Muhamad Anuar yang sedang merangkak berhampiran akar pokok rengas. 

"Saya bawa Muhamad Anuar yang tidak bermaya dan mengalami kecederaan ke sebuah pondok sebelum ke gerai makan untuk membeli nasi seperti dimintanya. 

"Saya dengan dibantu abang tiri, Zahari Ngah, 44, sempat menukarkan pakaian serta memandikan Muhamad Anuar dan menghantarnya ke rumah seorang jiran sebelum di hantar ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ)," katanya. 

Sementara itu Timbalan Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Superintendan Suffian Sulaiman ketika dihubungi mengesahkan penemuan mangsa.

0 comment... add one now