DS Vida Rela Bantu Kelantan Dengan 1 Syarat

KOTA BHARU: Usahawan dan pemilik syarikat kosmetik dan produk kesihatan, Vida Beauty Sdn Bhd, Datuk Dr Hasmiza Othman sedia membantu Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) yang dilaporkan sedang menghadapi masalah kewangan. 


Syaratnya produk milik DS Vida perlu dijual secara besar-besaran dalam satu karnival selama seminggu.

Beliau yang lebih dikenali dengan Dr Vida berkata, antara langkah yang boleh dilakukan bagi mengumpul dana ialah menerusi penganjuran Karnival Pamoga Qu Puteh bagi mengurangkan beban kewangan KAFA untuk menghadapi Liga Malaysia (Liga M) musim depan. 

Beliau berkata, karnival bakal diadakan selama seminggu itu membabitkan agen jualan dari setiap negeri. 

"Sebagai penaja utama yang pernah menaja Kelantan, saya rasa bertanggungjawab membantu KAFA setakat yang termampu dengan mengemukakan beberapa langkah drastik. 

"Penganjuran karnival dilihat salah satu langkah susulan berikutan masalah ketiadaan dana dalam kantung persatuan itu setelah bekas Presiden KAFA, Tan Sri Annuar Musa melepaskan jawatan tertinggi persatuan itu baru-baru ini. 

"Menerusi karnival pamoga QUu Puteh itu, semua agen akan menjual produk barangan keluaran syarikat Vida Beauty dan membuat promosi tertentu bagi menarik minat penyokong supaya hadir memberi sokongan dengan membeli pelbagai hasil kosmetik dan kesihatan syarikat ini," katanya ketika dihubungi hari ini. 

Vida berkata, beliau juga mempelawa wakil pengedar jersi tampil menjual semua jenis jersi Pamoga Qu Puteh The Red Warriors (PQPTRW) kepada peminat dengan pakej harga yang menarik sempena karnival itu. 

Katanya, semua peminat dan penyokong The Red Warriors (TRW) diharap dapat hadir memberi sokongan membantu KAFA dalam bentuk berbelanja membeli jersi dan produk Pamoga Qu Puteh serta membabitkan diri dalam pelbagai program menarik yang disediakan penganjur nanti. 

"Hasil jualan akan disalurkan kepada KAFA dalam membantu menambahkan dana kewangan pasukan yang kini mengalami defisit kewangan," katanya.

0 comment... add one now