Gol Faiz Subri Terpilih 3 Terbaik, Atasi Lionel Messi dan Neymar

KUALA LUMPUR: Peminat bola sepak tanah air ada beberapa jam lagi untuk mengundi gol cantik jaringan pemain Pulau Pinang, Mohd Faiz Subri yang kini menanti undian pusingan kedua anugerah Puskas 2016 yang bakal diumumkan Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA), malam ini. 

Semalam FIFA sendiri mengeluarkan artikel yang menjadi berita utama laman sesawang rasmi Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA), www.fifa.com dengan tajuk 'Subri's physics-defying free-kick'. 


Artikel berkenaan menceritakan bagaimana jaringan menakjubkan yang dilakukannya pada Februari lalu bukan hanya menafikan logik bahkan hukum fizik. 

Lebih daripada itu, jaringan dilakukan menggunakan teknik tersendiri itu menyebabkan lawannya, rakan sepasukan, penonton dan berjuta lagi yang menyaksikannya di atas talian seakan-akan tidak percaya. 

Jaringan menakjubkan itu menurut artikel berkenaan mendapat sokongan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang memuat naik menerusi Twitter bahawa berita mengenainya sepakan percuma itu 'menakjubkan' dan 'benar-benar hebat' dan sudah sampai ke Amerika. 

Namun penghormatan untuk jaringan itu hadir pada 21 November lalu apabila ia dipilih oleh pemain legenda, Gabriel Batistuta, Marta dan Marco van Basten untuk disenaraikan dalam 10 pencalonan untuk Anugerah Puskas FIFA 2016. 

Artikel berkenaan juga meminta orang ramai mengundi jaringan itu jika merasakan ia bernilai untuk menerima Anugerah Puskas selain meletakkan Faiz terus berada dalam laluan untuk merebutnya. 

"Jika anda merasakan jaringan Subri bernilai untuk Anugerah Puskas, masa sudah semakin suntuk untuk terus meletakkan dalam pemburuan. 

"Tarikh akhir untuk pusingan pertama undian akan berakhir sebentar lagi, dengan tiga gol dalam saingan yang sepenuhnya ditentukan peminat akan memasuki pusingan kedua dan peringkat terakhir," kata artikel berkenaan. 

Pemenang akan diumumkan pada majlis Anugerah Terbaik FIFA pada 9 Januari 2017. 

Sementara itu menerusi laman video YouTube, video dimuat naik Wouva untuk keseluruhan pencalonan juga dipenuhi komen memuji jaringan Faiz yang mengatakan dia sememangnya layak meraih anugerah berkenaan. 

Video yang ditonton lebih 926,704 pelayar itu menjadi tempat peminat dari seluruh dunia menyuarakan pandangan mengenai anugerah berkenaan. 

Seorang pelayar yang menggunakan nama RyanNevz memberi ulasan: "Secara jujur gol terakhir (jaringan Faiz) berhak menerima anugerah berkenaan. Dominasi penyokong terhadap pemain tertentu mungkin menjadi faktor utama untuk pemain lain menang tetapi gol terakhir itu memang berhak, cukup setakat itu." 

Seorang lagi pelayar William Maldonado dalam komennya berkata sepakan percuma Lionel Messi adalah satu jenaka berbanding calon terakhir. 

"Jaringan terakhir itu adalah gol yang amat menakjubkan!!! Siapa dia? katanya yang turut mendapat komen peminat lain mengenai Faiz. 


Sila kongsikan dengan rakan anda yang masih belum mengundi.

KEMASKINI:

Gol Faiz Subri telah dipilih sebagai antara 3 gol terbaik untuk FIFA Puskas Award oleh peminat bola sepak seluruh dunia.

Turut mengiringi Faiz Subri adalah dua lagi gol dari Marione dari Brazil dan Daniuska Rodríguez dari Venezuela.


Sebelum ini Faiz Subri telah tercalon sebagai dalam 10 senarai akhir daripada ribuan gol dari seluruh dunia yang diambil kira dari 30 September 2015 sehingga 30 September 2016.

Melalui undian atas talian Faiz telah di senarai pendek kepada 3 terbaik dunia.

TAHNIAH FAIZ SUBRI!

0 comment... add one now