Honda Buka Tempahan BR-V


KUALA LUMPUR: Honda Malaysia Sdn Bhd membuka tempahan bagi Honda BR-V, yang dijangka dilancarkan untuk pasaran Malaysia pada suku pertama tahun depan. 

Tempahan untuk model Crossover 7 tempat duduk itu boleh dibuat di semua 88 pengedar bertauliah Honda Malaysia di seluruh negara. 

Honda Malaysia dalam kenyataannya berkata, BR-V adalah kenderaan yang dibangunkan khas untuk pasaran rantau ASEAN, mula diperkenalkan di Indonesia, diikuti Thailand, India dan Filipina. 

"Ia mendapat sambutan yang cukup baik di pasaran berkenaan dengan menampilkan keluasan sebuah Kenderaan Pelbagai Guna (MPV) dengan gaya Kenderaan Utiliti Sukan (SUV). 

"BR-V dijangka memenuhi permintaan pasaran Malaysia dalam segmen tujuh tempat duduk dengan nilai yang hebat, gaya, luas dan ciri yang praktikal," katanya. 

Dikuasakan oleh enjin 1.5L i-VTEC dengan janaan kuasa 120 PS dan 145 Nm tork, yang dipadankan dengan sistem transmisi CVT, BR-V adalah kenderaan paling berkuasa dalam segmennya. 

Jika semua tempat duduk dinaikkan, ruang barangan yang mampu ditampung oleh model ini ialah 223 liter. 

Ruang yang sama dapat ditingkatkan kapasitinya kepada 539 liter jika tempat duduk barisan ketiga direbahkan. Tempat duduk barisan kedua boleh dilipat dalam nisbah 50:50 dengan ciri One Touch Tilt & Tumble. 

Bagi tempat duduk barisan ketiga pula, ia boleh dilipat dalam nisbah 60:40. Honda BR-V memiliki dimensi 4,456 milimeter (mm) panjang, 1,735 mm lebar dan 1,666 mm tinggi dengan jarak roda 2,662 mm. 

Sebagai perbandingan, kenderaan ini 161 mm lebih panjang, 35 mm kurang lebar dan 45 mm lebih tinggi serta jarak rodanya 50 mm lebih panjang berbanding Honda HR-V. 

Reka bentuk luarannya turut diserikan lagi dengan kehadiran Lampu Nyalaan Siang LED (DRL) dan rim aloi dua tona bersaiz 16 inci. Dari aspek keselamatan, Honda BR-V diberi penarafan lima-bintang bagi ASEAN NCAP untuk varian dengan ciri Kawalan Kestabilan Elektronik (ESC).

0 comment... add one now