Ibu Terkejut Pelajar 14 Tahun Lahirkan Bayi

KUALA KLAWANG: Seorang wanita terkejut apabila anak perempuannya berusia 14 tahun, melahirkan bayi di rumah mereka di sini, Selasa lalu. 


Pemangku Ketua Polis Daerah Jelebu, Asisten Superintendan Abdul Razak Yahya, berkata pelajar Tingkatan Dua itu melahirkan bayi perempuan seberat 3.1 kilogram secara normal. 

Katanya, pada mulanya pelajar itu mengadu sakit pinggang dan meminta kakaknya mengurut badan bagi mengurangkan kesakitan. 

"Ketika mengurut itu, dia tiba-tiba melahirkan seorang bayi. Bayi itu kini dirawat di hospital bersama ibunya," katanya di sini, hari ini. 

Abdul Razak berkata, keluarga pelajar itu tidak menyedari perubahan badan anak mereka, manakala siasatan awal mendapati dia mengadakan hubungan dengan teman lelaki yang berusia 19 tahun pada Mac lalu, selepas berkenalan menerusi aplikasi WeChat. 

"Teman lelaki pelajar itu kini ditahan reman selama tujuh hari, bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan," katanya.

0 comment... add one now