JDT Tidak Mampu Bayar Gaji Diminta Diaz

Kelab Bola Sepak Johor Darul Ta'zim (JDT) terpaksa melepaskan Jorge Pereyra Diaz selepas tidak mampu menunaikan permintaan gaji baharu oleh pemain itu. 


Ketua Jurulatih JDT, Mario Gomez menjelaskan betapa tindakan menjual pemain dari Argentina itu adalah tepat kerana kelab berkenaan perlu mengawal perbelanjaan.

"Saya sudah membuat keputusan dan pihak pengurusan bersetuju untuk menjual penyerang luar negara kami, Jorge Pereyra Diaz kerana kami sudah mendapat satu tawaran baru yang cukup baik buat kelab. 

 "Beliau mahu terus kekal di sini tetapi kami tidak mampu untuk membayar gaji baru yang dipinta dan kami perlu mengawal perbelanjaan duit kelab. Oleh itu, keputusan untuk menjual beliau adalah tepat," kata Gomez dalam satu kenyataan di Facebook JOHOR Southern Tigers, semalam. 

Sementara itu, Gomez turut mengesahkan seorang lagi pemain import JDT, Hariss Harun akan dipinjamkan ke kelab Portugal atau Jepun selama setahun. 

 "Hariss Harun adalah seorang pemain yang bagus dan cukup berdisiplin. Beliau amat bermakna buat kelab dan kami akan menghantar beliau ke kelab Portugal atau Jepun secara pinjaman selama setahun. 

 "Saya pasti dengan umur beliau sekarang, corak permainannya akan meningkat lebih baik jika beliau diberi peluang untuk bermain di tahap yang lebih tinggi. Beliau akan menjadi satu aset utama buat kelab pada masa akan datang selepas kembali bermain dengan kelab luar berkenaan. Buat masa sekarang, ini adalah perancangan yang terbaik buat kelab," tambah Gomez.

BACA JUGA: "Tiada Pemain Liga M Layak Dinilai Jutaan Ringgit" - Santokh Singh

0 comment... add one now