Kai Rooney Sertai Latihan Manchester City

MANCHESTER: Anak lelaki sulung Wayne Rooney, Kai kini menjalani latihan bersama pencabar utama, Manchester City. 


Pemain berusia tujuh tahun itu sebelum ini bermain dengan pasukan pembangunan Manchester United sejak Oktober. 

Bagaimanapun, sejak itu dia menjalani latihan bersama Akademi Bola Sepak City yang dikatakan berjaya membuatkan barisan kejurulatihan kagum dengan bakat dimilikinya. 

Antara yang hadir menyaksikan Kai menjalani latihan ialah bapanya yang juga kapten United dan England selain datuknya, Wayne Snr. 

Sejak beberapa minggu kebelakangan ini, difahamkan Rooney bergaul dengan ibu bapa lain daripada skuad bawah tujuh tahun City, segelintir daripada mereka terkejut melihat penyerang United itu di ibu pejabat pencabar mereka. 

"Pemain pada usia yang muda tidak mempunyai posisi yang tetap dalam pasukan, dengan kelab-kelab profesional mahu mereka untuk mencuba peranan yang berbeza. 

"Kebanyakan mereka mahu memainkan peranan sebagai pemain nombor sembilan tetapi mereka perlu menikmati bola sepak mereka pada usia ini,' kata salah seorang jurulatih". 

"Kamu tidak perlu mengenal pasti mereka sebagai penyerang tengah atau pemain tengah bertahan, tetapi adakah mereka boleh bermain dengan baik? Adakah mereka mempunyai kebolehan dengan kedua-dua belah kaki? Bagaimana hantaran mereka? Bolehkah mereka mendengar dan belajar?" 

"Orang kami dilatih untuk melihat sama ada pemain itu mempunyai kriteria yang diperlukan walaupun ia adalah terlalu awal untuk mengetahui sama ada kamu akan mempunyai Rooney dan Steven Gerrard pada masa akan datang". 

Kelab dalam saingan Liga Perdana Inggeris tidak boleh menandatangani pemain sehinggalah mereka berusia sembilan tahun dan ia adalah biasa untuk mereka menjalani latihan dengan beberapa akademi sebelum memilih pasukan. 

Rooney, 31, akan menggunakan tempoh ini untuk melihat bagaimana anaknya dilatih dan kemudahan yang disediakan City.

0 comment... add one now