"Ada Kalanya Diam Lebih Baik Dari Berkata-Kata" - Annuar Musa Balas Kenyataan TMJ

KUALA LUMPUR: Bekas Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA), Tan Sri Annuar Musa hari ini mengeluarkan satu lagi kenyataan yang dipercayai berkaitan dengan isu Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) tidak boleh ditadbir secara proksi. 


Tanpa menamakan secara langsung individu terbabit, ia seolah-olah merujuk kepada kenyataan yang dibuat oleh pemilik Johor Darul Ta'zim (JDT), Tunku Ismail Sultan Ibrahim menerusi akaun rasmi Facebook kelab terbabit semalam. 

Kenyataan Annuar itu disiarkan menerusi akaun Facebook miliknya sebentar tadi. 

"Dari orang yg berjaya ada sesuatu yg boleh di pelajari...DAN DARI ORANG YG GAGAL JUGA MUNGKIN BANYAK YG BOLEH DI MUNAFAATI... "yg penting dalam hidup ini biarlah bersederhana dan sedia di nasihati dan menasihati asal nasihat itu jujur dan baik.. 

"Namun ada kalanya diam itu lebih baik dari berkata kata...Wallahuaklam." 

Semalam, Tunku Ismail yang juga Tunku Mahkota Johor dilaporkan berkata baginda tidak perlu menerima nasihat daripada seorang pemimpin yang gagal untuk membuat keputusan menjadi Presiden FAM atau sebaliknya. 


Biarpun tidak menamakan individu dimaksudkan, ia dipercayai merujuk kepada Annuar. 

Kenyataan daripada Tunku Ismail itu hadir susulan kenyataan awal yang dibuat Annuar menerusi akaun Facebooknya sebelum itu. 

Annuar dilapor berkata cadangan melantik Tan Sri Aseh Che Mat sebagai presiden FAM untuk membolehkan Tunku Ismail terbabit dalam pengurusan persatuan itu tidak boleh diterima kerana melanggar statut badan induk berkenaan. 

Tunku Ismail sebelum ini dilaporkan mencadangkan Aseh sebagai calon paling sesuai untuk menggantikan Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah sebagai presiden baharu FAM pada kongres persatuan berkenaan tahun depan.

0 comment... add one now